AKUN GIMAN
SIBU:Lelaki Indonesia ditemukan mati tergantung dalam bilik sewa di tingkat dua, Lebuh Tinggi, di sini petang semalam.
Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Stanley Jonathan Ringgit berkata, mangsa, Syarif Effendi, 48, berasal dari Pontianak, Indonesia, ditemui oleh adik pemilik bilik sewa tersebut.
“Sekitar 3.30 petang, pengadu pergi ke bilik sewa milik abangnya untuk mengutip sewa bulanan rumah.
“Apabila pengadu membuka pintu bilik, dia nampak seorang lelaki dalam keadaan tergantung di dalam bilik dengan menggunakan ikatan tali beg dan meninggal dunia,” jelasnya ketika dihubungi oleh pemberita petang, semalam.
Katanya, siasatan dan pemeriksaan di lokasi mendapati tiada sebarang kesan pergelutan dan barang milik mangsa masih dalam keadaan baik.
“Mangsa dipercayai tinggal seorang diri. Pihak ambulans yang berada di lokasi telah mengesahkan kematian mangsa.
“Pemeriksaan ke atas badan mangsa mendapati tiada luka atau sebarang kecederaan,” ujarnya.
Katanya, hasil bodyview oleh doktor forensik juga mendapati tiada sebarang kecederaan pada tubuh mangsa, hanya terdapat kesan jerutan di bahagian leher.
“Berdasarkan keadaan mayat, mangsa dipercayai meninggal dunia kurang daripada 10 jam,” ujarnya lagi.
Menurutnya, Konsulat Indonesia akan dimaklumkan berkenaan kes ini bagi mengesan waris dan pengurusan mayat.
“Kes diklafikasikan sebagai Kes Mati Mengejut,” ujarnya lagi.