Bermula sebagai hobi mengisi waktu lapang, kini bantal kekabu ciptaan Mumycom, anak kelahiran Lundu sudah berjaya mencipta nama di seluruh Sarawak.
Perniagaan yang pada awalnya dilakukan secara kecil-kecilan dengan memenuhi permintaan ahli keluarga dan kenalan rapat, kini semakin berkembang apabila mendapat tempahan dari seluruh negeri ini.
‘Kelembutanmu Menceriakan Lenaku’ sebagai pegangan, Payah Bunsu atau dikenali sebagai Mumycom, 52, bangga apabila produk bantal kekabu ciptaannya mendapat sambutan menggalakkan daripada pelanggan.
“Saya tidak menyangka, bermula dari hobi kini bantal kekabu ciptaan saya dikenali di seluruh Sarawak. Sebelum ini saya juga pernah belajar menjahit dan mula berniaga secara kecil-kecilan pada 2018.
“Idea untuk menjual bantal kekabu mula tercetus apabila saya nampak tiada orang membuat bantal kekabu di Lundu. Sekarang ini permintaan bantal kekabu sangat mengagalakan,” katanya.
Selain menjual bantal kekabu, suri rumah berbangsa Iban ini memberitahu, dia turut menghasilkan produk berasaskan kain termasuk cadar, selendang, selimut, alas meja, beg dan selimut bayi.
”Kebanyakan pelanggan yang menempah amat menggemari corak berkonsepkan etnik Sarawak
yang dijadikan sebagai corak utama jualan saya.
“Bagaimanapun, saya turut menawarkan corak lain seperti corak kartun dan bunga sesuai permintaan pelanggan,” katanya sambil memberitahu bahawa dia menyiapkan produknya dengan bantuan tujuh mesin.
Menurutnya, dia mampu menghasilkan 100 biji bantal sehari dengan saiz yang berbeza-beza mengikut lapisan umur.
“Saya menjual bantal kekabu pada harga antara RM6 hingga RM50, mengikut saiz,” katanya.
Mengakui dunia keusahawanan tidak semudah yang disangka, dia mendedahkan banyak cabaran yang perlu ditempuhi.
“Cabaran utama dalam menghasilkan produk ini ialah saya hanya mempunyai dua pekerja. Jadi saya sibuk mahu sediakan untuk pengeluaran. Ini memang mencabar. Saya perlu berkerja dari pagi hingga lewat malam,” katanya.
Walaupun terpaksa menempuh pelbagai cabaran, ia bukan halangan untuk dia terus maju kehadapan dalam bidang perniagaan yang diceburinya.
Kekabu mempunyai banyak kelebihan. Sebab itulah, kekabu sangat sesuai dijadikan bahan utama dalam bantal dan tilam.
Ia juga bersifat tidak toksik kerana tidak mengandungi bahan kimia tambahan. Maka kekabu tidak memberikan kesan sampingan yang negatif kepada penggunanya.
Oleh NUR AIN OTSMAN