WARSAW: Presiden Poland Andrzej Duda pada Khamis (16 Mac) berkata, Warsaw akan menghantar kumpulan awal empat jet pejuang MiG-29 ke Ukraine.
Ia akan menjadi penghantaran pertama sedemikian oleh sebuah anggota Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).
Ukraine telah berulang kali meminta sekutu Baratnya untuk menghantar pesawat perang, dengan pilihan utamanya pesawat F-16 moden buatan Amerika Syarikat.
Namun setakat ini tiada negara Barat komited untuk memberikan jet tersebut kepada Kyiv.
“Pada beberapa hari akan datang, kami akan menghantar, jika saya ingat dengan betul, empat pesawat yang beroperasi sepenuhnya ke Ukraine,” kata Encik Duda kepada wartawan mengenai pesawat yang direka oleh Soviet.
Tindakan menghantar sebarang jet pejuang akan menandakan perkembangan penting dalam konflik tersebut.
Ini selain meningkatkan pertahanan Kyiv terhadap serangan peluru berpandu Rusia dan serangan dron.
Poland telah menerajui usaha untuk menghantar lebih banyak peralatan ke Ukraine dan meyakinkan negara-negara Barat lain untuk mengikutinya.
Encik Duda berkata Poland mempunyai puluhan pesawat MiG yang diwarisi dari bekas Republik Demokratik Jerman, yang “akan” dihantarkan ke Ukraine.
“MiG itu masih digunakan pasukan udara Poland. Ia dalam tahun-tahun terakhir operasi tetapi sebahagian besarnya masih dalam keadaan boleh berfungsi sepenuhnya,” tambah beliau.
Kata Duda lagi, MiG merupakan “pesawat yang boleh dikelola juruterbang Ukraine tanpa latihan tambahan”.
Seorang jurucakap tentera Ukraine berkata, negara itu “berterima kasih kepada rakan-rakannya”.
“MiG tidak akan menyelesaikan tugas, kami memerlukan F-16. Tetapi MiG akan memperkukuhkan keupayaan kami,” kata jurucakap Pasukan Udara Ukraine Yuriy Ignat. – AFP