KUCHING: Sebuah kilang bahan berasaskan silikon karbon rendah bersepadu pertama di Asia Tenggara dengan pelaburan RM6.7 bilion akan dibangunkan di Taman Perindustrian Samalaju Bintulu awal tahun depan.
Projek ini akan mewujudkan kira-kira 4,000 peluang pekerjaan sepanjang operasi penuh kilang, di mana 3,800 pekerja mahir dan 200 profesional.
Projek kilang ini dimulakan awal tahun depan dan dijangka siap menjelang 2025, bertujuan menyediakan penyelesaian tenaga hijau inovatif kepada negeri ini.
Pengerusi Adam Digital Aset Sdn Bhd, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, pihakya dengan kerjasama Haitai Solar, Perbadanan Kejuruteraan Jentera China (CMEC) dan Solar Pulse Sdn Bhd membawa projek ini ke Sarawak untuk memaksimumkan penggunaan sumber tenaga boleh diperbaharui dan teknologi terkemuka bagi membina infrastruktur digital beriklim positif dan bermanfaat kepada ekonomi.
“Konsortium kami telah mengenal pasti lokasi untuk membina loji (kilang) di Taman Perindustrian Samalaju Bintulu dengan pelaburan langsung bernilai kira-kira RM6.7 bilion.
“Kilang ini akan memulakan operasi sepenuhnya pada 2026,” katanya ketika berucap pada majlis menandatangani perjanjian (MoU) antara Haitai Solar, CMEC dan Solar Pulse Sdn Bhd di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), hari ini.
Majlis itu disaksikan oleh Timbalan Menteri MINTRED, Datuk Dr. Malcom Mussen Lamoh.
Khalid yang juga bekas Ketua Polis Negara (KPN) berkata, pihaknya telah bertemu dan memberi taklimat kepada Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan (MINTRED), Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan mengenai projek itu.
Haitai Solar adalah sebuah perusahaan berteknologi tinggi yang memberi fokus tenaga hijau dengan lima bahagian perniagaan iaitu modul fotovoltaik, loji janakuasa skala utiliti, kurungan fotovoltaik, penyimpanan tenaga dan tenaga hidrogen.
“Syarikat ini diiktiraf sebagai pengeluar modul tahap satu oleh Pembiayaan Tenaga Baharu Bloomberg dan antara 10 Syarikat Solar Fotovoltaik (PV) terbaik di China dari segi kapasiti pengeluaran dan penghantaran.
“Sebagai penyedia tenaga baharu, Haitai Solar akan terus menggalakkan pembangunan tenaga baharu dengan pembangunan kualiti dan teknologi untuk menerajui revolusi tenaga hijau dan komited untuk menyediakan lebih nilai kepada keperluan global secara sistematik,” katanya.
CMEC pula adalah sebuah Syarikat Kejuruteraan, Perolehan, Pembinaan dan Pentauliahan (EPCC) terkenal dunia yang telah berjaya menyampaikan pelbagai jenis projek kejuruteraan.
Selain itu, Solar Pulse Sdn Bhd merupakan sebuah syarikat tempatan Malaysia yang berpengalaman luas dalam penggunaan solar atas bumbung.
Oleh NUR AIN OTSMAN