KUCHING: Salah seekor orang utan di Pusat Hidupan Liar Semenggoh yang dinamakan dengan panggilan Saddamiah baru sahaja melahirkan anak orang utan ketiganya (gambar).
Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) berkata, Saddamiah ditemui di pelantar makanan Selasa lalu bersama bayi yang baharu lahir di belakangnya.
Sebelum itu, Saddamiah kali terakhir dilihat di kawasan itu pada Isnin lalu.
“Pengawal Hidupan Liar dengan sukacitanya mengumumkan bahawa bayi orang utan itu adalah anak ketiga Saddamiah selain Ruby yang berusia 10 tahun dan Sigat yang berusia lima tahun.
“Kelahiran ini merupakan satu lagi peristiwa penting dan bukti kejayaan usaha pemuliharaan oleh SFC dan kerajaan Sarawak,” kata SFC menerusi satu entri di laman media sosialnya, hari ini.
Anak ketiga Saddamiah masih belum dinamakan setakat ini.
Sementara itu, SFC berkata Pusat Hidupan Liar Semenggoh juga menempatkan 27 orang utan separuh liar lain selain Saddamiah.
Bagi mereka yang ingin menyertai program anak angkat orang utan SFC, ketahui lebih lanjut di https://semenggoh.my/adopt-orangutan/.