SIBU: Setiausaha Agung Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Sarawak Dato Sri Alexander Nanta Linggi berkata, beliau benar-benar serius dalam saranannya supaya lebih ramai kaum Dayak dan Cina diambil untuk menyertai perkhidmatan awam Sarawak.
Beliau berkata, ia adalah untuk membawa pembaharuan yang lebih bermakna, dan penambahbaikan kepada sistem semasa bagi pengambilan pegawai perkhidmatan awam Sarawak, di samping memastikan bahawa peluang yang saksama diberikan kepada semua etnik di Sarawak yang berhasrat untuk menyertai perkhidmatan awam negeri.
“Cara paling mudah ialah dengan berpandukan sistem kuota pada peringkat pengambilan penting, dan kemudian disusuli dengan keadilan berterusan di semua peringkat promosi. Sudah tentu kenaikan pangkat juga mesti berdasarkan sistem merit,” kata Menteri Kerja Raya itu dalam kenyataan di sini, semalam.
Nanta yang juga Ahli Parlimen Kapit berkata, beliau kagum dan menyokong penuh pengumuman Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg baru-baru ini yang berhasrat menjadikan perkhidmatan awam negeri sebagai yang paling cekap, bagi memastikan penyaluran pembangunan dan perkhidmatan terbaik buat negeri Sarawak.
Bulan lepas, Nanta dilaporkan menggesa pengenalan sistem kuota pekerjaan berdasarkan kepada etnik dalam perkhidmatan awam Sarawak, semasa beliau menyambut baik cadangan oleh Abang Johari untuk menarik minat lebih ramai kaum Cina menyertai perkhidmatan itu, dengan menambah baik aspek gaji perkhidmatan awam negeri.
Dalam kenyataan semalam Nanta berkata, Premier Sarawak telah mengisytiharkan bahawa perkhidmatan awam negeri akan mengambil petugas yang terbaik, dan mereka akan diberikan ganjaran yang sewajarnya dengan emolumen yang lebih tinggi.
“Ini pastinya suatu langkah yang hebat, namun lebih dari itu, prinsip asas ‘merit’, produktiviti, keupayaan untuk melantik atau memecat pekerja, integriti, dan aspek inklusif, perlu turut menjadi asas penting dalam skim yang dibangunkan bagi merombak perkhidmatan awam negeri,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa bukan niatnya untuk mencari kegemilangan peribadi atau populariti semata-mata dalam isu itu, tetapi perasaan tidak senang hati berhubung perkara itu memang sering membelenggunya selama ini.
“Namun sebagaimana saya katakan, saya akui bahawa keadaan sememangnya semakin berubah menjadi lebih baik sejak beberapa tahun kebelakangan ini,” katanya.
Beliau turut merakamkan ucapan terima kasih terhadap pembaharuan dan usaha kerajaan negeri, dengan beberapa pemimpinnya terutama Premier Sarawak yang jelas menunjukkan keikhlasan, minat serta usaha untuk mencapai perkhidmatan awam Sarawak yang lebih seimbang dari segi kaum.- Bernama