KUCHING: Pelajar yang ingin memasuki Institut Pendidikan Guru (IPG) terutama pelajar berbangsa Iban digalakkan untuk mengambil kursus Bahasa Iban sebagai mata pelajaran utama.
Menteri di Jabatan Perdana Premier Sarawak, Datuk John Sikie Tayai berkata, hal ini adalah bagi memastikan setelah tamat pengajian nanti, mereka yang lulus kursus Bahasa Iban ini dapat mengajar bahasa itu di sekolah-sekolah.
“Tetapi masalahnya sekarang ini tidak ramai yang berminat untuk mengambil Bahasa Iban. Mereka sepatutnya berbangga dengan bahasa ibunda mereka.
“Sebab itu saya menggalakkan pelajar berbangsa Iban yang melanjutkan pengajian mereka ke IPG tidak kira lelaki atau perempuan mengambil jurusan Bahasa Iban sebagai mata pelajaran utama.
“Bahasa Iban memang sudah lama diajar di sekolah rendah dan menengah di luar bandar, namun mata pelajaran itu tidak diajar di kawasan bandar seperti di sekolah St. Thomas atau St. Joseph di Kuching,” katanya setelah merasmikan Bengkel Ngelatika Jaku Iban dalam Komunikesyen di sebuah hotel di sini, hari ini.
Oleh NICKELYSON LAKUN