KUALA LUMPUR: Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua), pembekal dan pengedarnya terus mengorak langkah ke hadapan dalam tempoh dua bulan pertama 2023, kerana kedua-dua pengeluaran dan jualan merekodkan pertumbuhan dua digit.
Pengeluaran meningkat sebanyak 32.95 peratus kepada 51,134 unit pada dua bulan pertama tahun ini berbanding 38,460 unit pada tempoh yang sama sebelumnya, dan jualan meningkat sebanyak 33 peratus kepada 46,385 kenderaan daripada 34,865 kenderaan sebelumnya.
Dalam satu kenyataan hari ini, pembuat kereta itu mengaitkan prestasinya disebabkan peningkatan kecekapan dalam aspek pengeluaran, kemudahan pembiayaan kepada para pengedar Perodua yang lebih baik serta komunikasi yang menyeluruh dalam ekosistem dan juga dengan pelanggannya.
“Walaupun masih terdapat banyak lagi cabaran berkaitan isu bekalan cip semikonduktor, peningkatan kos dan sebagainya, tetapi kami berjaya mencatatkan pertumbuhan dua angka dalam pengeluaran dan jualan kami dan untuk itu kami berterima kasih kepada rakan-rakan niaga kami atas komitmen mereka,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad.
Beliau berkata setakat ini, permintaan untuk kenderaan Perodua masih kekal kukuh dan pihaknya sedang mempertingkatkan lagi jumlah pengeluaran untuk memenuhi permintaan tersebut.
“Hasilnya, purata tempoh menunggu setakat 28 Februari, 2023 adalah di antara 2.5 bulan dan 8 bulan tertakluk kepada model, varian dan warna.
“Oleh yang demikian, kami memohon maaf kepada para pelanggan kami dan berterima kasih di atas kesabaran mereka. Kami akan cuba menambah baik lagi pengeluaran dan pendaftaran kami pada bulan-bulan yang akan datang,” katanya.
Melangkah ke hadapan, beliau berkata unjuran industri automotif dijangka positif memandangkan keadaan ekonomi semasa adalah kekal stabil.
“Tumpuan semasa kini adalah kestabilan tenaga kerja, terutama sekali kepada para pembekal automotif bagi memastikan pengeluaran dapat dipertingkatkan lagi.
“Kami juga berharap penggubal dasar dapat terus berkomunikasi dengan ekosistem berhubung sebarang perubahan polisi masa hadapan yang mungkin memberi kesan kepada industri,” katanya. – Bernama