MELAKA: Malaysian Amateur Radio Transmitters’ Society (MARTS) akan melaksanakan simulasi komunikasi Malaysia Puncak ke Puncak (MY-PTP) pada 18 Mac ini.
Penyelaras MY-PTP Hamdan Abu berkata, seramai 117 pengendali radio amatur dari pelbagai kelab dan persatuan akan mengendalikan simulasi berkenaan secara serentak daripada 19 bukit atau gunung di seluruh negara.
Beliau berkata, lokasi terlibat termasuk Gunung Jerai di Kedah setinggi 1,217 meter (m) dari aras laut, Bukit H Sungai Petani (207 m), Bukit Kledang, Ipoh (800 m), Bukit Lambak, Kluang (510 m), Bukit Senorang, Kemayan (326 m), Bukit Penarikan, Bahau (410 m) dan Bukit Langkap, Pulau Pinang (130 m).
“Di Lembah Klang pula membabitkan Bukit Lanjan, Selangor (335 m), Bukit Gasing, Petaling Jaya (163 m), Bukit Jugra (192 m), Bukit Saga, Ampang (140 m) Bukit Qatar, Putrajaya (110 m) dan Bukit Broga, Selangor (400 m).
“Di Wilayah Sarawak, seramai 10 pengendali radio amatur di negeri itu memilih Bukit Selang, Kuching (150 m),” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Hamdan berkata, simulasi berkenaan merupakan pertama kali diadakan dalam sejarah radio dua hala di Malaysia di sebalik penggunaan radio amatur sebagai hobi semata-mata oleh peminatnya.
Beliau berkata menerusi latihan MY-PTP itu, pengendali radio amatur hanya dibenarkan menggunakan bateri atau kuasa solar sahaja sekali gus memberi cabaran tersendiri kepada pengendali seperti perlu memikul bateri solar seberat 20 kilogram atau janakuasa.
“Ia merupakan satu latihan yang menggabungkan beberapa elemen asas seperti pemilihan peralatan radio yang sesuai untuk dibawa ke lapangan, pemilihan lokasi yang bertepatan dengan garis penglihatan (LOS), melatih teknik dan kemahiran percakapan radio, asas penyampaian maklumat kecemasan atau bencana serta menguji kerjasama dalam kumpulan.
“Semua peserta akan menguji capaian komunikasi dari puncak ke puncak dan ke stesen radio amatur yang paling jauh dan radio yang digunakan ialah High Frequency (HF) dan Very High Frequency (VHF) dalam mood analog.
“Sementara dalam mood digital, stesen puncak tertentu akan memancar menggunakan Digital Mobile Radio (DMR) atau Continuous Four Frequency Modulation (C4FM) yang merupakan teknologi radio dua hala terkini.
“Di samping komunikasi dalam kalangan pengendali radio amatur di negara ini, simulasi ini juga terbuka kepada stesen radio amatur luar negara terutama Singapura, Thailand dan Indonesia yang berhasrat menyertainya,” katanya. – Bernama