KUCHING: Lembaga Amanah Kebajikan Rejimen Askar Wataniah Sarawak (LAKRAWS) yang diwujudkan akan menggalas tanggungjawab ke atas pentadbiran dan pengurusan dana bagi Rejimen Askar Wataniah Sarawak.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, penubuhan lembaga amanah tersebut adalah penting bagi memastikan semua dana dan geran yang diberikan kepada Rejimen Askar Wataniah Sarawak diuruskan dengan baik dan sistematik.
“Pada 7 Disember 2022, LAKRAWS telah mengadakan mesyuarat dan memutuskan untuk menubuhkan sebuah lembaga amanah yang dinamakan sebagai Lembaga Amanah Kebajikan Rejimen Askar Wataniah Sarawak (LAKRAWS) untuk menguruskan semua dana, geran yang disumbangkan kepada Rejimen Askar Wataniah Sarawak dapat diuruskan dengan baik.
“Penerima manfaat amanah amal tersebut ialah pegawai dan kakitangan di Rejimen Askar Wataniah Sarawak,” katanya semasa sidang media di lobi Wisma Bapa Malaysia di sini, hari ini.
Untuk rekod, semua ahli lembaga LAKRAWS merupakan askar wataniah di negeri ini dan dipengerusikan oleh Mohamad Abu Bakar Marzuki dan dibantu Naib Pengerusinya, Abdullah Julaihi.
Sementara itu, dalam perkembangan lain, Fatimah memberitahu bahawa Premier telah bersetuju untuk hadir bagi merasmikan Sambutan Hari Wanita 2023 yang akan disambut pada 18 Mac akan datang di Pusat Konvensyen Penview (PCC), Demak di sini.
Menurut Fatimah lagi, terdapat enam anugerah yang akan diberikan sempena Hari Wanita tersebut bagi memberi pengiktirafan kepada tokoh-tokoh wanita di Sarawak dalam pelbagai bidang.
“Antaranya ialah Anugerah datuk Patinggi laila Taib dan lima Anugerah Premier Sarawak iaitu Anugerah Premier Sarawak Kepimpinan Wanita, Keusahawanan Wanita, Penggiat Sosial Wanita, Pencapaian Khas dan badan bukan kerajaan (NGO) Cemerlang,” ujarnya.
Terdahulu, Fatimah dan beberapa kakitangan daripada kementerian beliau mengadakan kunjungan hormat kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg bagi menunjukkan piala London Design Awards 2022 yang dimenangi menerusi platform digital iSarawakCare.
Oleh RYNNA SHA’ERRA