KUCHING: Majlis Perbandaran Padawan (MPP) akan mengadakan Bazar Ramadan 2023 di 11 lokasi pada tahun ini.
Antara lokasi Bazar Ramadan MPP 2023 ialah di Sentosa Square, tempat letak kereta KFC Matang Jaya, tempat letak kereta Shiok Seafood, H & L Supermarket, Dewan Komuniti Kampung Haji Baki, Emart Matang, Emart Batu Kawa, Lee Ling Commercial Centre, Prince Commercial Centre, Ninso Jalan Batu Kawa dan Pines Square Batu Kawa.
Timbalan Pengerusi MPP, Senator Dato’ Ahmad Dato’ Sri Ibrahim berkata, Bazar Ramadan MPP membawa sedikit kelainan pada kali ini yang mana ia akan diadakan dari 2.00 petang hingga 11.00 malam.
“MPP satu-satunya pihak berkuasa tempatan (PBT) yang mengadakan bazar Ramadan yang tidak hanya tertakluk kepada jualan makanan dan minuman sahaja. Tahun ini, peniaga dibenarkan menjual pakaian untuk sambutan Hari Raya seperti baju kurung, baju Melayu, songkok, pinggan mangkuk dan sebagainya.
“Kita turut membenarkan peniaga menjual mercun, tapi jualan mercun itu mesti mempunyai lesen,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat MPP, hari ini.
“Para peniaga yang ikut serta dalam Bazar Ramadan MPP 2023 dinasihatkan supaya mempunyai Sijil Kursus Pengendali Makanan serta suntikan typhoid (vaksin kepialu),” katanya.
Selain itu, peniaga dikehendaki mematuhi etika pengendalian makanan yang baik sejajar dengan keperluan di bawah Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009.
Katanya, Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sarawak akan sentiasa memantau setiap tapak bazaar bagi mengelak perkara yang tidak diingini berlaku seperti kegagalan meletak tanda harga, gerai kotor dan sebagainya.
“Peniaga yang mejual pakaian dikehendaki menjual pakaian yang tulen, agar pembeli tidak tertipu.
“KPDN Sarawak memberi amaran kepada peniaga yang menjual barang tiruan. Jika peniaga gagal mengikut syarat yang telah ditetapkan ini, gerai mereka akan ditutup,” katanya.
Oleh NUR AIN OTSMAN