SIBU: Seorang lelaki ditahan bersama 129.59 gram dadah dalam serbuan di sebuah rumah di Lorong Ek Dee, petang semalam.
Ketua Polis Sibu, ACP Zulkipli Suhaili berkata, sekitar 7.10 petang itu, sepasukan anggota dan pegawai Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sibu telah melakukan serbuan ke rumah terbabit dan menahan lelaki tempatan berumur 32 tahun.
“Hasil pemeriksaan, pihak polis telah merampas tujuh paket plastik lutsinar berisi ketulan kristal disyaki dadah jenis methamphatamine dengan anggaran berat kasar keseluruhan rampasan berjumlah 129.59 gram dan nilai rampasan keseluruhan berjumlah RM12,959.
Katanya, hasil ujian saringan air kencing yang dibuat ke atas suspek didapati positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine, semakan kes lampau juga mendapati suspek mempunyai 18 kes lampau berkaitan dadah.
“Suspek seterusnya ditangkap di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 15(1)(a) ADB 1952.
“Suspek telah direman selama enam hari bermula hari ini bagi membantu siasatan,” ujarnya.
Tegasnya, hukuman bagi kesalahan di bawah Seksyen 39B ADB 1952 jika disabitkan kesalahan mandatori gantung sampai mati.
“Manakala bagi kesalahan dibawah Seksyen 15(1) (a) ADB 1952 denda tidak lebih RM5,000 dan penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali dan pengawasan selama dua tahun di bawah Seksyen 38B ADB 1952,” Katanya.
Oleh AKUN GIMAN