MIRI: Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg akan memandu sendiri di jalan raya dari Long Lama ke Long Kevok di Baram dekat sini, selepas Aidilfitri.
Katanya, beliau mahu mencuba sebahagian jalan raya di situ yang baharu siap.
“Datuk Amar Douglas (Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas) telah menjemput saya untuk memandu di jalan raya dari Long Lama.
“Saya akan memandu sendiri kereta ke Long Kevok semata-mata untuk menguji jalan selepas Hari Raya.
“Saya pernah ke Long Kevok tanpa sebarang jalan ketika berjumpa dengan penduduk Penan di sana,” katanya pada sidang media selepas melawat Lembaga Perlabuhan Miri (LPM) di sini, semalam.
Sementara itu, Abang Johari berkata, Kerajaan Sarawak akan terus membawa air terawat ke kawasan luar bandar di Mulu walaupun mendapat bantahan masyarakat setempat.
Beliau berkata, beliau tidak dapat memahami sebab-sebab penduduk tempatan menolak bekalan air bersih dan terawat.
“Tuai rumah dan beberapa orang lain membantah air terawat ini. Saya tidak faham. Kita beri air yang terawat tetapi mereka membantah.
“Apa pun, sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, kami akan terus berunding dengan mereka,” katanya.
Beliau berkata, ini kerana bekalan air terawat sangat penting, begitu juga dengan bekalan elektrik.
Terdahulu, Abang Johari menghadiri mesyuarat Jawatankuasa Penyelarasan Pembangunan Negeri yang diadakan di sini, semalam.
Turut hadir, tiga Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Dato Sri Dr. Sim Kui Hian.
Oleh LIONG CHAI LING