SIMANGGANG: Sembilan premis perniagaan di bandar ini dipantau oleh pihak petugas barisan hadapan semalam bagi memastikan mereka mematuhi garis panduan yang telah ditetapkan dalam Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Premis perniagaan tersebut adalah Pasar Raya Fair Price, Pasar Raya Doremon, Pasar Raya Unaco, CHY Trading, Queen Silver, Swash Jewels, Watson, Golden Mobile dan Eye Work Optical.
Operasi pemantauan itu bermula seawal 8.00 pagi dan dikendalikan oleh Task Force yang terdiri daripada Pasukan Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan Majlis Daerah Sri Aman.
Pegawai APM Daerah Sri Aman, Kapten (PA) Siti Huzaimah Ibrahim ketika ditemui berkata, pihak Task Force ini akan terus melakukan pemantauan terhadap semua premis perniagaan sedia ada di Bandar Simanggang sepanjang penguatkuasaan PKPB.
“Task Force mahu semua premis perniagaan di sini bertindak memeriksa suhu badan dan mencatat nama serta nombor telefon setiap pelanggan mereka bagi memudahkan pengesanan terhadap penularan pandemik Covid-19 (jika berlaku).
“Menerusi pemantauan ini, pihak Task Force juga turut bertindak menasihat pekerja untuk sentiasa memakai penutup mulut dan hidung ketika bekerja di premis masing-masing,” kata beliau.
Pihak Task Force ini juga kata Siti juga turut memberi amaran dan nasihat terhadap orang ramai yang masih ingkar terhadap penguatkuasaan PKPB ketika operasi pemantauan itu dilakukan semalam.
Katanya, tindakan memberi amaran ini kata beliau bukan kehendak pihak Task Force semata-mata namun sebaliknya dapat menyelamatkan nyawa orang ramai itu sendiri daripada menjadi mangsa jangkitan pandemik Covid-19 kelak.
“Secara keseluruhannya, pihak Task Force kami tidak menghadapi insiden sepanjang operasi pemantauan ini dengan orang ramai termasuk peniaga akur ketika diberi nasihat berhubung garis panduan penguatkuasaan PKPB.
“Justeru, para peniaga dan orang ramai terus mematuhi PKPB lebih-lebih lagi ketika menjelang musim perayaan utama sekarang bagi memantau kerajaan memutuskan rantaian Covid-19 dalam negeri ini,” kata Siti.