SPAOH: Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA) menyerahkan senarai lebih 70 cadangan projek bernilai RM780 juta kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg untuk mendapatkan kelulusannya awal bulan ini.
Pengerusi BDDA, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata ia adalah projek infrastruktur dan kemudahan di lapan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Bahagian Betong.
“Ini adalah projek keutamaan kita (BDDA). Kita mahu melaksanakan semua cadangan yang diberi lampu hijau secepat mungkin dan dalam tahun ini.
“Kita mahu projek-projek terbabit dijalankan mengikut spesifikasi serta jadual ditetapkan. Langkah kami seterusnya ialah bertemu Setiausaha Kewangan Sarawak untuk memuktamadkannya,” katanya selepas menghadiri majlis makan malam Tahun Baharu Cina di Dewan Masyarakat Spaoh.
Timbalan Premier Sarawak itu berkata jawatankuasanya telah menyerahkan senarai projek itu kepada semua jabatan berkaitan di sini supaya mereka boleh membuat persiapan sendiri.
Katanya, walaupun jumlah peruntukan yang diberikan kepada BDDA adalah RM1.5 bilion, jawatankuasa itu membelanjakan RM740 juta untuk projek-projek itu pada peringkat ini.
Beliau juga berkata, kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) kini adalah sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan.
“GPS bersama parti-parti politik lain yang sehaluan dalam membentuknya demi sebuah Kerajaan Pusat yang kukuh dan untuk kestabilan politik dalam negara agar ia lebih maju dan makmur.
“Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim banyak membantu Sarawak setakat ini. Kita kini mempunyai Dato Sri Fadillah Yusof, seorang pemimpin tempatan dari Sarawak yang merupakan Timbalan Perdana Menteri.
“Ini adalah kali pertama anak Sarawak dilantik ke jawatan tertinggi dalam tempoh 60 tahun,” katanya.
Uggah menjelaskan, Anwar juga telah meningkatkan pemberian khas kepada Sarawak seperti yang diperuntukkan dalam Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan kepada RM300 juta daripada sebelumnya hanya RM16 juta.
Selain itu, beliau berkata Anwar telah meluluskan sejumlah RM1 bilion untuk menaik taraf kompleks Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (CIQS) di sempadan Sarawak dan Sabah dengan Indonesia.
“Jika kita melihat di sisi lain, mereka mempunyai kemudahan yang jauh lebih baik daripada kita,” katanya.
Dalam ucapannya itu juga, Uggah menasihatkan masyarakat Cina di sini untuk memainkan peranan mereka dalam menyumbang kepada pembangunan dan kemakmuran bandar selanjutnya.
Beliau berkata terdapat banyak peluang untuk dieksploitasi dengan banyaknya projek pembangunan yang akan dilaksanakan oleh kerajaan dan BDDA.
Oleh ADI SAFARMAN