MIRI: Sebanyak 83 kenderaan diperiksa dan beberapa notis ketidakpatuhan peraturan jalan raya dikeluarkan dalam Operasi Bersepadu – Ops Tahun Baharu Cina 2023 di sekitar bandar raya Miri, semalam.
Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sarawak menerusi hantaran di Facebook menyatakan operasi itu diadakan di laluan Miri-Bintulu-Jalan pesisir pantai dan sekitar pusat bandar raya Miri.
“Operasi bersepadu ini dilaksanakan bersama oleh JPJ Miri dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Miri.
“Melalui operasi ini 83 kenderaan diperiksa dan beberapa notis ketidakpatuhan jalan raya seperti tiada lesen memandu, cukai jalan tamat tempoh, tiada perlindungan insurans pihak ketiga, telah dikeluarkan.
“Jumlah ini juga termasuk sebuah kenderaan disita. Pada masa sama, hasil saringan air kencing yang dijalankan oleh pihak AADK mendapati tiada pengguna jalan raya yang positif barang terlarang,” katanya.
Dalam hantaran sama, JPJ memberi peringatan kepada pengguna jalan raya untuk sentiasa memastikan kenderaan yang digunakan mematuhi undang-undang jalan raya.
“Pihak JPJ akan sentiasa melakukan penguatkuasaan secara berfokus dalam memastikan pengguna patuh kepada peraturan dan undang- undang sedia ada.
“Untuk sebarang aduan trafik bolehlah disalurkan terus melalui aplikasi e-Aduan @jpj atau http://jpj.spab.gov.my beserta butiran pengadu dan butiran aduan,” katanya.
Oleh RYNNA SHA’ERRA