KUCHING: Isteri Yang Di-Pertua Negeri Sarawak, Toh Puan Datuk Patinggi Raghad Kurdi Taib semalam menyerahkan sumbangan kepada golongan memerlukan dalam program Majlis Jalinan Kasih Tahun Baharu Cina di Dewan Perniagaan Batu 7 dan Gelanggang Bola Keranjang, SJK Chung Hua, Batu Kitang di sini.
Penyerahan bantuan berbentuk sumbangan wang tunai dan bantuan makanan kering ini melibatkan 100 penerima iaitu 50 penerima dari penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) N.12 Kota Sentosa manakala 50 penerima berikutnya dari DUN N.13 Batu Kitang.
Majlis Jalinan Kasih Tahun Baharu Cina ini merupakan hasil idea Toh Puan Raghad sendiri yang bergiat secara aktif dalam menyalurkan sumbangan kepada golongan yang memerlukan.
Turut hadir pada majlis itu adalah ADUN Kota Sentosa, Wilfred Yap Yau Sin, ADUN Batu Kitang Lo Khere Chiang, Datin Siti Shorgayah Ahmad Zaidin dan Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Noriah Ahmad.
Oleh SHAHRUL QAIZAT