KUCHING: Pemberian bonus kepada penjawat awam akan dikecualikan daripada cukai, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata, ini susulan pertimbangan bahawa jumlah insentif khas yang diberikan itu adalah tidak tinggi.
“Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg telah mengusulkan isu ini dan saya fikir ia munasabah. Bonus itu tidak tinggi.
“Oleh itu, bonus akan dikecualikan daripada cukai. Ini akan terpakai untuk semua penjawat awam di negara ini,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Pelaksanaan Tindakan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) Petra Jaya di sini, hari ini.
Turut hadir dalam sidang media itu ialah Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Mohd Noor, Timbalan Perdana Menteri, Dato Sri Fadillah Yusof dan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas) Datuk Armizan Mohd Ali.
Mesyuarat itu turut disertai Timbalan-Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Dato Sri Profesor Dr Sim Kui Hian, Menteri-Menteri dari Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki dan dif-dif kehormat yang lain.
Oleh NUR AIN OTSMAN