MUKAH: Polis merampas minuman keras bernilah lebih RM35,000 dalam Ops Kontraban di sini semalam.
Ia hasil risikan dan pemeriksaan di sebuah kediaman di Jalan Pam Stesen Lama Mukah pada sekitar jam 11.00 pagi.
Ketua Polis Daerah Mukah, Deputi Superintenden Polis (DSP) Muhamad Rizal Alias berkata penemuan itu adalah di dua stor berkunci dalam kediaman berkenaan.
“Pihak polis menemui minuman keras pelbagai jenama berjumlah 214 karton disyaki tidak mempunyai cukai kastam. Nilai rampasan kira-kira RM35,321.30.
“Ketika serbuan, kediaman tersebut adalah kosong dan tiada suspek yang mengaku memiliki minuman itu,” katanya.
Beliau berkata operasi itu adalah berdasarkan maklumat serta risikan sepasukan Polis Marin Wilayah Lima Bintulu dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mukah.
Muhamad Rizal menyatakan kesemua barang rampasan dibawa ke IPD Mukah dan diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah untuk siasatan lanjut.
“Kes kini sedang disiasat di Bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967,” katanya.
Oleh Henry b Siyu