KUCHING: Rakyat Sarawak yang berada di luar negeri wajar balik ke ‘bumi sendiri,’ kata Timbalan Premier, Dato Sri Dr Sim Kui Hian.
Ini kerana, banyak peluang pekerjaan baharu yang telah ditawarkan oleh Kerajaan Sarawak untuk rakyatnya yang kini sedang merantau di ‘bumi orang.’
“Mungkin tidak banyak peluang pekerjaan pada masa dahulu, tetapi dengan perkembangan terkini yang dirancang oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, terdapat peluang baharu untuk semua orang Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan upacara menyalakan lampu sempena sambutan Tahun Baharu Cina di sekitar patung Kucing Putih, Padungan di sini, malam tadi.
Katanya, antara peluang pekerjaan baharu yang ditawarkan oleh kerajaan untuk anak Sarawak ialah Projek Sistem Pengangkutan Bandar Kuching (KUTS) yang sedang dilaksanakan.
“Projek ini memerlukan sumbangan orang Sarawak untuk mencapai matlamatnya iaitu mengekalkan status keluaran dalam negara kasar (GDP) terbesar di Malaysia dan menjadi negeri yang maju menjelang 2030,” katanya lagi.
Turut hadir, Datuk Bandar MBKS, Dato Wee Hong Seng serta Konsulat Jeneral Republik Rakyat China di Kuching, Xing Wei Ping.
Oleh NUR AIN OTSMAN