BEKENU: Seramai empat Ketua Kaum (KK) menerima sijil pelantikan jawatan baharu dan salah seorang dilanjutkan tempoh jawatan.
Majlis ringkas penyerahan sijil pelantikan itu disempurnakan oleh Timbalan Menteri Wanita dan Pembangunan Kanak-kanak Datuk Rosey Yunus di Pejabat Daerah Subis di sini, hari ini.
Menurut Datuk Rosey Yunus, kerusi (jawatan) Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) di setiap kawasan merupakan kerusi panas yang ramai idamkan.
“Pelantikan ini merupakan satu tanggungjawab dan memikul jawatan ini banyak cabaran yang akan kita hadapi daripada anak buah, media dan persekitaran.
“Kerusi KMKK juga panas sebab ada ramai juga yang minat, jadi ramai yang minat maka kita pahamlah, kita akan diberi perhatian daripada pelbagai pihak daripada yang suka dan tidak suka.
“Saya menjelaskan ini bukan untuk menakutkan tapi untuk peringatan apabila kita sudah duduk di kerusi itu bahawa kita sedia menghadapi pelbagai cabaran kerenah di sekitar kita,” jelasnya.
Beliau yang merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bekenu menambah, apa sahaja teguran daripada orang adalah perlu diterliti dengan sebaiknya.
“Jika mana yang betul, kita terus belajar yang betul dan mana yang tidak betul kita hendaklah perbetulkan.
“Usaha kita sebagai mata dan telinga kepada kerajaan adalah untuk kebaikkan semua, sebagai seorang ketua kita tidak dapat memenuhi selera semua orang,” katanya lagi.
Tiga KK baharu itu ialah KK Annor Bugal, 57 tahun dari Kampung Angus, KK Rapin Edin, 66 (Kampung Pulau Untung), Kapitan Ho Chaeng Seng 55 (Pekan Sepupok Niah) dan KK Ramlee Talip 55 (Kampung Sinop) perlanjutan jawatan.
Turut hadir, wakil kepada Pegawai Daerah Subis Minggu Jumpong, Kaunselor Sulaiman Ahmad, Penghulu Pui Kuan Phen, Penghulu Choo Chong Yii, Penghulu Junit Molok, Penghulu Januin Taha, Penghulu Rapa’ee Saat.
Oleh Adum Liu