KUCHING: Silat dianggap sebagai sukan yang memperjuangkan seni, budaya, dan warisan masyarakat Melayu harus dipertahankan.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan), Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali berkata warisan seperti ini perlu dijaga dengan sebaiknya.
“Jadi peranan kita di sini bukan hanya untuk bersukan, tapi untuk memartabatkan budaya dan seni silat Melayu Sarawak.
“Kalau kita tidak pertahankan, ia boleh hilang ditelan dunia yang serba moden ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis penyerahan Bendera Sarawak kepada Kontinjen Pencak Silat Kebangsaan Sarawak, Rumpun Silat Sarawak (RSS) di Auditorium CENTEX, di sini hari ini.
Sharifah Hasidah berkata, dengan persiapan yang mantap serta bersaing dengan disiplin, RSS pasti pulang dengan kemenangan dan kejayaan.
Selain itu, RSS bakal bertempur di Kejuaraan Silat Kebangsaan Kali Ke-20 di Johor Darul Takzim pada 19 sehingga 23 Disember nanti.
Dalam pada itu, pihak CENTEX turut membantu dalam memberi kebenaran untuk pasukan pencak silat RSS berlatih di fasiliti CENTEX selama dua minggu tanpa mengenakan sebarang cas penginapan.
Oleh Mohd Neenatul Aizal
Keterangan gambar
Simbolik…. Datuk Sharifah Hasidah (tengah) menyerahkan bendera Sarawak kepada ketua pasukan pasukan pencak silat bertempat di Centex Santubong hari ini. Foto Herriey Naha