KUCHING: Kerajaan Persekutuan diminta meneliti kadar tambang penerbangan Malaysia Airlines (MAS) laluan Kuala Lumpur – Kuching untuk menjadikannya lebih mampu milik kepada lebih ramai rakyat Malaysia, khususnya rakyat Sarawak.
Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Parlimen), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata ini kerana harga tiket melonjak terutama setiap hujung tahun dan musim perayaan termasuk cuti sekolah.
Katanya, pada masa ini penerbangan pergi-balik untuk kelas ekonomi MAS menelan kos lebih RM2,000 (termasuk bagasi, insurans dan cukai).
“Harga ini jelas sekali tidak mampu ditanggung ramai orang.
“Perkhidmatan udara adalah satu-satunya cara pengangkutan untuk menghubungkan Sarawak dan Kuala Lumpur, tiada pilihan lain,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kesalinghubungan itu penting bukan sahaja atas sebab sosioekonomi malah juga integrasi antara penduduk dari kedua-dua bahagian negara ini.
Katanya, ada syarikat penerbangan lain menawarkan pilihan yang lebih murah.
“Bagaimanapun, ramai rakyat Sarawak lebih suka menaiki Malaysia Airlines kerana ia adalah syarikat penerbangan nasional dan ia memberikan mereka rasa kekitaan sebagai sebahagian daripada Malaysia.
“Kerana peranannya sebagai syarikat penerbangan nasional, Malaysia Airlines juga mempunyai tanggungjawab sosial untuk menyediakan perkhidmatan udara yang selamat, berkualiti dan boleh dipercayai untuk rakyat di Sarawak. Ia tidak sepatutnya mengenai wang dan keuntungan semata-mata.
“Untuk itu, saya ingin menasihati kerajaan dan juga Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) untuk melihat secara serius perkara ini bagi mendapatkan penyelesaian berkesan.
“Ini bukan sesuatu yang sepatutnya diabaikan. Kepada rakyat Sarawak, ini adalah perkara yang serius dan, saya percaya isu ini telah banyak kali diketengahkan oleh pemimpin Sarawak, mewakili keseluruhan sentimen rakyat di sana.
“Demi perpaduan dan muhibah, saya harap MAVCOM akan melakukan sesuatu untuk menyemak semula tambang penerbangan. Seperti yang dinyatakan sebelum ini, mereka mempunyai kewajipan untuk berkhidmat kepada rakyat di Sarawak.
“Ia bukan hanya mengenai keuntungan. Sarawak selama ini aktif dan menyokong keseluruhan proses pembinaan negara Malaysia. Saya rasa sudah tiba masanya kerajaan mula memberi lebih perhatian kepada nasib rakyat dari bahagian negara ini,” katanya.
Oleh SHAHRUL QAIZAT