SIBU: Orang ramai diminta untuk memberi sokongan kepada Grolite dalam misi tanggungjawab sosial korporatnya (CSR) melaksanakan kempen derma darah pada 8 Januari 2023.
Pengurus Pembangunan Perniagaan Grolite, Sandra Song berkata, kempen dengan kerjasama Tabung Darah Hospital Sibu akan bermula dari jam 9 pagi hingga 2 petang di bangunan pejabat baharu, Jalan Tunku Abdul Rahman.
“Buat pertama kalinya, Grolite akan menganjurkan kempen derma darah. Penganjuran kempen ini untuk memberi manfaat kepada masyarakat secara keseluruhannya,” katanya.
Katanya, objektif penganjuran kempen adalah sebagai usaha membantu Tabung Darah Hospital Sibu mendapatkan bekalan darah mencukupi bagi kegunaan Hospital Sibu.
“Grolite berharap penganjuran program ini dapat meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai keperluan dan kepentingan menderma darah. Ini bagi menjamin bekalan darah mencukupi bagi kegunaan pesakit-pesakit yang memerlukannya.
“Kita akan membuka gerai pameran dengan mengetengahkan kepentingan sumbangan derma darah dapat menyelamatkan nyawa dan meningkatkan kesihatan,” katanya.
Sebagai CSR, katanya, syarikat Grolite akan menyumbangkan RM50 untuk setiap pain darah yang diterima pada kempen tersebut.
“Setiap pain darah yang diterima, Grolite akan menyumbangkan RM50. Dana akan disumbangkan kepada Tabung Darah Hospital Sibu untuk pembelian mesin dan peralatan yang diperlukan oleh pihak tabung darah.
“Sumbangan ini cukup bermakna. Orang ramai bukan sahaja menyelamatkan nyawa insan yang memerlukan dengan menderma darah, Grolite turut memberi sumbangan. Kerjasama ini memanfaatkan masyarakat Sibu dan memberi impak positif kepada orang ramai,” katanya.
Beliau berharap lebih ramai dapat hadir dan memberi sokongan dan sumbangan mereka kepada masyarakat pada kempen derma darah.
“Penderma darah yang layak menderma darah akan mendapat hadiah saguhati sumbangan syarikat sebagai tanda terima kasih atas sokongan mereka kepada program ini,” katanya.
Sebarang pertanyaan lanjut mengenai kempen derma darah, orang ramai boleh menghubungi Grolite di talian 084-344622 atau 011-63414911,” katanya.
Turut hadir ialah Pengurus Jualan Grolite, Song Tiong Chuan dan Eksekutif Pembangunan Perniagaan Grolite, Aaron Song.
Oleh AKUN GIMAN
Keterangan gambar
Demi nyawa…. Sandra (empat kiri), Song (empat kanan), Aaron (tiga kanan) bersama kakitangan Grolite selepas sidang media kempen derma darah di Sibu hari ini.