SIBU: Ahli keluarga Ani Mail diminta tampil bagi memudahkan urusan pemohonan kad pengenalan baharunya.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, Ani yang mempunyai lapan adik beradik tinggal di sekitar negeri ini dan Semenanjung Malaysia, telah kehilangan kad pengenalan.
“Adik terdekat Ani ialah Robert Kennedy Mail (abang) tinggal di Rumah Randang, Jalan Bintulu-Miri. Jika abangnya itu mempunyai kad pengenalan, ia akan membantu dan memudahkan proses permohonan kad pengenalan baharu Ani.
“Saya juga telah menghubungi Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Sarawak berhubung perkara itu dan mereka akan membantu proses permohonan,” katanya kepada pemberita selepas melawat Tempat Transit Gelandangan (TTG) Sibu, hari ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dalat itu memuji badan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat atas bantuan mereka dalam memastikan TTG Sibu beroperasi dengan baik.
“TTG merupakan inisiatif kerajaan Sarawak bagi menangani isu gelandangan di negeri ini. Di Sibu, pihak pengurusan TTG telah menjalankan tugas dengan baik,” katanya.
Fatimah berkata, setakat ini seramai 16 gelandangan tinggal di TTG Sibu dan 11 daripadanya lelaki.
“Ramai daripada gelandangan sudah berpindah dari pusat tersebut kerana mereka sudah mempunyai pekerjaan dan boleh berdikari sendiri.
“Inilah tujuan sebenar TTG dibina, ia adalah tempat tinggal sementara gelandangan dan mendapat latihan supaya mereka boleh mempunyai peluang kedua untuk membina kehidupan mereka,” katanya.
Oleh AKUN GIMAN
Keterangn gambar:
UNTUK KENANGAN……Fatimah merakam kenangan bersama penghuni TTG Sibu, hari ini.