KUCHING: Peminat muzik dan Seni masih berpeluang untuk mendapatkan tiket ke Festival Muzik & Seni Antarabangsa Sarawak (SIFMA) yang akan diadakan mulai jam 7.30 malam esok dan Ahad ini di bangunan Dewan Undangan Negeri, Petra Jaya.
Ia akan dipenuhi program seperti Acara Buluh, Instrumen Etnik, Irama Sarawak, Malam Konsert Chorale, Persidangan dan Bengkel Antarabangsa Music Heals, Persatuan Muzik dan Perubatan Malaysia (MSSM).
SIFMA dalam satu kenyataan media hari ini menyatakan buat pertama kalinya, gabungan kolektif koir yang menampilkan tiga pasukan koir terbaik Sarawak, turut ditampilkan.
“Antaranya, Dolce Chanticleer diketuai oleh Sabrina Tnay, Koir Dewan St Joseph diketuai oleh Benedict Lo dan Koir Sekolah Kebangsaan Lodge diketuai oleh Anthony Wong dan akan dikendalikan oleh Thomas Kuek dari Singapura.
“Peminat koir juga akan teruja dengan persembahan UiTM Chamber Choir dan Victoria Chorale dari Singapura, yang merupakan antara persembahan yang ditunggu-tunggu pada malam SIFMA,” katanya.
Pencinta muzik dan seni juga akan dihidangkan dengan persembahan oleh Sekolah Balet Halili Cruz, Studio Shilp Maitri, Ganesh Kriti, Esme Wong, dan ramai lagi.
Tunjukkan sokongan anda untuk acara tempatan ini dengan membeli tiket ke SIFMA 2022 di https://sifma.com.my/. Pastikan anda mengikuti platform media sosial rasmi SIFMA untuk mendapatkan info terkini.
Oleh SHAHRUL QAIZAT