SERIAN: Blok baharu Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Chung Hua Batu 35 di Serian setinggi empat tingkat bernilai RM2.73 juta mencerminkan betapa pentingnya pendidikan Cina di kawasan ini dan di seluruh negeri.
Timbalan Premier Sarawak, Dato Sri Dr Sim Kui Hian berkata, nilai pendidikan Cina haruslah dicontohi setiap kaum yang ada di negeri ini dalam mencapai status negeri maju dan berpendapatan tinggi menjelang 2030.
“Sekolah Cina di Sarawak adalah untuk semua kaum. Jadi, semangat kerja keras dan ketabahan pendidikan Cina ini dalam mengharungi kesusahan, serta perpaduan dan keharmonian sedia ada di Sarawak perlu terus dipertahankan,” katanya ketika ditemui media selepas merasmikan blok baharu SJK Chung Hua Batu 35, Serian hari ini.
Sim berkata, lapan tahun akan datang adalah tempoh genting bagi Sarawak untuk membina negeri ini.
“Kita mesti bergerak ke hadapan, tanpa membenarkan sebarang kuasa negatif dan perpecahan yang boleh menjejaskan kita.
“Sebab itu kita menuntut lebih autonomi terutama untuk kesihatan dan pendidikan kerana kita tahu apa yang perlu dilakukan dan mahu Sarawak bergerak lebih jauh kehadapan,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Persekutuan Lembaga Pengurusan Sekolah SJK Bahagian Kuching, Samarahan dan Serian, Dato Jonathan Chai Voon Tok berkata, pembinaan dewan serbaguna bernilai RM1.1 juta adalah kemurahan hati komuniti di Tarat serta sokongan penderma dan kedua-dua kerajaan Sarawak dan Persekutuan.
“Dengan Kerajaan Persekutuan yang baharu di bawah pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim, saya berharap autonomi pendidikan akan dikembalikan kepada Sarawak supaya pihak berkepentingan dapat terus memastikan pendidikan berkualiti untuk anak-anak Sarawak,” katanya.
Oleh NUR AIN OTSMAN