AL-SHAMAL, Qatar: Pemain veteran Jerman, Thomas Mueller berkata semalam pasukannya mesti “kekal merendah diri” ketika skuad itu masih boleh tersingkir pada peringkat kumpulan Piala Dunia dan apa yang berlaku pada 2018 masih berada di minda mereka menjelang pertemuan dengan Costa Rica awal pagi Jumaat ini.
Gol penyamaan Niclas Fuellkrug pada minit ke-83 berdepan Sepanyol Ahad lalu kembali meletakkan cabaran Jerman di landasan sebenar selepas kemusnahan dihadapi berikutan kalah di tangan Jepun.
Harapan Jerman untuk layak ke kelompok 16 terakhir di Qatar kini bukan lagi di tangan mereka walaupun jika menewaskan pasukan bukan pilihan, Costa Rica.
Kemenangan Jepun ke atas Sepanyol bermakna Jerman mesti mengatasi perbezaan gol dengan Sepanyol yang banyak dibantu kemenangan 7-0 skuad La Roja membalasah Costa Rica pada perlawanan pembukaan.
Mueller bagaimanapun berkata mereka kini hanya fokus untuk menewaskan Costa Rica, yang bangkit dalam aksi kedua dengan menewaskan Jepun 1-0.
“Apabila bola sepak akan melihat Jerman menentang Costa Rica, pada pandangan luar kami adalah pilihan dan jelas kami perlu menang,” kata Mueller.
“Kami kekal merendah diri. Kami hanya ada satu mata dan kurang satu perbezaan gol, tiada sebab untuk kami menjadi terlalu teruja.
“Mungkin ada senyuman di bibir kami (selepas perlawanan menentang Sepanyol), tapi itu kerana kami sedar masih ada peluang.
“Jangkaan terhadap Jerman jauh daripada sasaran awal sebagai “pasukan kali ini” selepas konsisten sepanjang Piala Dunia lalu,” katanya.
Namun selepas menang kejohanan pada 2014 di Brazil, tahap berkenaan semakin pudar apabila juara bertahan itu tersingkir pada peringkat kumpulan di Russia.
Kini mereka sekali lagi berdepan penyingkiran pada peringkat yang sama. – AFP