SIBU: Digital Nasional Berhad (DNB) akan memasang sebanyak 88 unit menara 5G di seluruh bandar Sibu, tahun depan.
Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu (MPS), Clarence Ting berkata pihaknya sudah menghantar surat sokongan kepada DNB bagi menyokong pemasangan menara itu.
“Mereka (DNB) mahu pihak majlis menyatakan surat sokongan (pemasangan menara 5G) kerana tempat mendirikan menara itu di atas kawasan tanah MPS.
“Mungkin ketika pemasangan menara sebelum ini mereka (DNB) ada menerima aduan daripada penduduk, atas sebab itu pelaksanaan 5G lambat,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat penuh bulanan MPS di bangunan Wisma Sanyan, hari ini.
Ting percaya, Sibu sudah pun mempunyai sambungan 5G jika tiada bantahan, dengan masalah seumpama itu berlaku di seluruh Sarawak.
“Menara 5G sebenarnya sangat kecil seperti tiang lampu rumah,” katanya.
Turut hadir Timbalan Pengerusi MPS, Bujang Abdul Majid dan Pemangku Setiausaha MPS, Yong Ing Chu.
Oleh AKUN GIMAN