KUCHING: Sekolah Menengah Antarabangsa Yayasan Sarawak (YSISS) yang pertama di Petra Jaya telah mula beroperasi secara rasmi pada 4 April lalu.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Roland Sagah Wee Inn berkata, pengambilan awal telah menarik 1,261 pemohon yang mana, 761 daripadanya menduduki peperiksaan kemasukan.
“Disebabkan kekangan kapasiti, kampus hanya boleh menerima 115 pelajar dari seluruh Sarawak untuk kohort pertama. Setelah dibangunkan sepenuhnya, kampus ini akan mempunyai kapasiti 500 pelajar dari Tahun 7 hingga Tahun 11 yang setara dengan Tingkatan 1 hingga Tingkatan 5,”katanya.
Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan di sidang Dewan Undangan Negeri hari ini.
Sementara itu, kemajuan semasa pembinaan YSISS Kuching yang terletak di Batu 12 Jalan Kuching-Serian adalah pada 50.67 peratus, dengan sasaran siap pada suku ketiga 2023.
Bagi YSISS Sibu pula, pembinaan disasarkan akan dimulakan pada suku pertama 2023, dengan tarikh sasaran siap pada Julai 2024.
Kedua-dua YSISS Bintulu dan Miri kini dalam peringkat perancangan.
“Dalam pada itu, Sarawak kini mempunyai tiga universiti awam iaitu UNIMAS, UiTM dan UPM. Tiga universiti milik kerajaan, Curtin, Swinburne, dan UTS, dan pelbagai universiti milik swasta yang lain.
“ Dari segi pendidikan tinggi, saya percaya kita mempunyai jalan yang mencukupi untuk rakyat Sarawak melanjutkan pelajaran ke peringkat tinggi di dalam negara,” ujarnya.
Jelasnya, dengan peruntukan RM20 juta untuk tahun depan, pembinaan kerja untuk Pusat Sains Sarawak akan bermula pada 2023, serentak dengan reka bentuk dan fabrikasi pameran dan kandungan interaktif. Pusat ini dijangka beroperasi dan terbuka kepada orang ramai pada 2025.
Oleh NUR AIN OTSMAN