KUCHING : Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan Negeri Sarawak (Pindaan) (No.2) 2022 bagi melarang wakil rakyat yang dipilih, melompat parti.
RUU berkenaan yang dibentangkan Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63, Hubungan Negeri-Persekutuan), Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali disokong 77 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).
Sebelum itu, tiga ADUN mengambil bahagian dalam perbahasan RUU berkenaan iaitu Datuk Seri Huang Tiong Sii (GPS-Repok), Safiee Ahmad (GPS-Daro) dan Violet Yong (DAP-Pending).
Sharifah Hasidah berkata, RUU itu memperuntukkan bahawa seorang wakil rakyat yang menganggotai parti politik, akan berhenti menjadi ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) dan ahlinya atau kerusinya hendaklah kosong serta-merta jika dia meletakkan jawatan atau berhenti menjadi ahli parti politik itu dengan rela hati.
“Perkara yang sama juga terpakai kepada calon Bebas atau setelah dipilih ke DUN sebagai anggota Bebas, kemudiannya menyertai parti politik. Kemudian, beliau akan berhenti menjadi ahli DUN.
“Bagaimanapun, RUU itu juga memperuntukkan keadaan di mana keahlian DUN tidak akan terjejas,” katanya ketika membentangkan RUU Perlembagaan Negeri Sarawak (Pindaan) (No 2), 2022 dalam persidangan DUN di sini.
Katanya, seseorang Ahli Dewan Undangan (ADUN) hendaklah kekal sebagai ADUN apabila pembubaran atau pembatalan pendaftaran parti politiknya; peletakan jawatannya daripada keahlian parti politiknya apabila dipilih sebagai speaker; atau penyingkiran keahliannya daripada parti politiknya.
Oleh itu, RUU itu bertujuan menambah Perkara 16B baharu, menggantikan fasal (6) dan (7) Perkara 17 yang sedia ada dalam Perlembagaan Negeri Sarawak.
Pindaan ini juga memperuntukkan kemaasukan takrif istilah ‘parti politik’ dalam Perkara 44 (di bawah seksyen tafsiran) Perlembagaan Negeri Sarawak.
Dalam pada itu, RUU tersebut bertujuan untuk meminda Perkara 33 Perlembagaan Negeri Sarawak, untuk membolehkan dewan meluluskan resolusi atau mana-mana resolusi masa depan, yang akan membolehkan pengeluaran wang daripada Kumpulan Wang Disatukan Negeri dengan cara disediakan oleh atau selaras dengan kedua-dua Undang-undang Negeri dan Persekutuan.
Pembentangan RUU Anti-Lompat Parti itu susulan kelulusan Rang Undang-undang Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 yang meminda Jadual Kelapan Perlembagaan Persekutuan di Parlimen pada 28 Julai awal tahun ini.
Oleh kerana pindaan itu adalah dalam ‘peruntukan penting’ di bawah Jadual Kelapan Perlembagaan Persekutuan, adalah perlu bagi Perlembagaan Negeri mempunyai peruntukan serupa atau yang mempunyai sebahagian besar kesan yang sama dan tidak bercanggah dengan peruntukan penting seperti yang diperuntukkan di bawah Perkara 71 (4) Perlembagaan Persekutuan.
Oleh NUR AIN OTSMAN