NEW DELHI: Pihak berkuasa di negeri Odisha dan Benggala Barat, India pada Selasa memindahkan ribuan penduduk ke kem bantuan berikutan siklon Amphan yang diramal melanda, lapor agensi berita Xinhua.
Siklon yang boleh mencetuskan ribut kuat itu dijangka membadai Benggala Barat pada Rabu petang.
“Ia adalah siklon kedua kuat – yang terbentuk di Teluk Bengal selepas 1999. Kelajuan angin di laut sekarang 200-240 kilometer sejam. Bergerak menuju arah utara barat laut,” kata Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi India (IMD) Mrutyunjay Mohapatra.
Sementara itu, Menteri Dalam Negeri Amit Shah berkata, 300,000 penduduk di Benggala Barat sudah dipindahkan dan juga penduduk di daerah Bhadrak serta Kendrapada Odisha.
Ketua Pengarah Pasukan Tindak Cepat Bencana Negara (NDRF) S N Pradhan berkata, 41 pasukan dikerahkan ke Benggala Barat dan Odisha sebagai persiapan menghadapi siklon.
IMD mengeluarkan amaran peringkat ‘oren’ untuk Benggala Barat dan Odisha.
Pihak berkuasa menasihati nelayan supaya tidak turun ke laut sehingga Khamis.
Siklon diramal melanda ketika India sedang berjuang melawan Covid-19, yang telah menjangkiti 101,139 dan mengorbankan 3,163 orang. – Bernama