KUCHING: Kerajaan Sarawak komited untuk memperkukuh perkhidmatan sosial dan meningkatkan perlindungan sosial dengan terus melaksanakan 10 program jaringan keselamatan.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata program itu bagi membolehkan rakyat di negeri ini berhadapan dengan kesusahan hidup.
“Menerusi program-program ini, RM52 juta akan disediakan untuk bantuan kebajikan seperti Bantuan Am dan Bantuan Bencana, manakala RM21 juta disediakan untuk Program Air Percuma.
“Selain itu, RM15 juta untuk Bantuan Penjagaan Selepas Bersalin, RM12 juta untuk Kad Emas Kenyalang (KGC) sebagai bantuan ihsan kematian untuk 4,000 waris warga emas berumur 60 tahun ke atas dan RM10 juta untuk Kumpulan Wang Wakaf Sarawak.
“Sementara itu, RM10 juga disediakan untuk bantuan kewangan bagi caj sambungan elektrik, RM 4.2 juta sebagai Geran Khas untuk Kasih Suri Keluarga Malaysia, RM3.75 juta untuk Program Memperkasa Isi Rumah Berpendapatan Rendah (e-Life).
“RM3.5 juta disediakan untuk program kesedaran dan intervensi untuk program kesejahteraan masyarakat manakala RM2 juta untuk Bantuan Pesakit Buah Pinggang (BPBP) bagi membantu pesakit buah pinggang,” katanya ketike membantang usul Belanjawan Sarawak 2023 pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), hari ini.
Menurut Abang Johari, selain menyediakan bantuan kewangan itu, kerajaan negeri juga akan menyediakan peruntukan untuk menubuhkan pusat-pusat komuniti yang kurang bernasib baik.
Justeru, RM500,000 diperuntukkan bagi penubuhan Pusat Selamat untuk gelandangan dan komuniti terlantar di Bintulu dan Miri serta sebuah pusat perlindungan transit untuk memberi bantuan dan perlindungan dalam kalangan individu dan keluarga yang terlibat dalam masalah sosial.
Selain itu, RM500,000 untuk kerja-kerja awal penubuhan Pusat Komuniti Keperluan Khas (SNCC) yang berfungsi dengan baik dan sehenti untuk komuniti berkeperluan khas.
Sementara itu, RM2.2 juta untuk menubuhkan Pusat Sokongan Sosial Komuniti (CSSC) yang berfungsi sebagai pusat sehenti untuk isu sosial, masalah dan campur tangan untuk keluarga yang kurang bernasib baik.
Oleh RYNNA SHA’ERRA