KUCHING: Langkah Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk bersama membentuk Kerajaan Persekutuan antara lain untuk kepentingan rakyat Sarawak bagi mewujudkan sebuah kerajaan yang stabil dan kukuh.
Pengerusi GPS, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata ia berasaskan kepada yang pertama iaitu menegakkan keluhuran perlembagaan Malaysia, Perlembagaan Sarawak dan kedaulatan undang-undang yang diperuntukkan dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC).
“Kedua, untuk menegakkan hak kebebasan beragama dan amalan kepelbagaian adat resam dan budaya di Sarawak seperti termaktub dalam Perlembagaan Malaysia, Perjanjian Malaysia 1963 dan Laporan IGC.
“Ketiga, autonomi dari segi perancangan pembangunan pendidikan dan kesihatan. Seterusnya, perkara-perkara lain yang mempunyai kepentingan Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media khas sejurus selepas mempengerusikan mesyuarat pra-persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Ibu Pejabat PBB Jalan Bako, Petra Jaya di sini petang ini.
Pada sidang media itu, beliau mengumumkan persetujuan GPS untuk membentuk Kerajaan Persekutuan yang baharu bersama Perikatan Nasional (PN) pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin, Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Abang Johari yang juga Premier Sarawajk berkata, semua sedia maklum bahawa tiada parti mempunyai majoriti mudah bagi membentuk kerajaan setelah selesai Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) semalam.
Katanya, keputusan GPS untuk bersama0-sama membentuk kerajaan itu diambil bagi mengukuh dan menstabilkan negara demi kesejahteraan rakyat.
“Demi untuk memastikan kesejahteraan rakyat terjamin dan ekonomi negara terpelihara, maka sebuah kerajaan yang stabil dan kuat haruslah dibentuk dengan kadar yan segera,” katanya.
Beliau berkata fokus dan tanggungjawab utama sekarang haruslah kepada kestabilan negara dan kesejahteraan rakyat.
Oleh Azreen Keria