BALINGIAN: Kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) yang berbaki empat hari lagi menyaksikan kebanyakan kawasan Parlimen yang ditandingi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) berada dalam kategori ‘putih’ untuk menang.
Sebaliknya, ada kawasan tertentu yang ditandingi parti komponen dalam Gabungan Parti Sarawak (GPS) masih berdepan sedikit saingan daripada pembangkang.
Ini diakui oleh Setiausaha Agung GPS, Dato Sri Alexander Nanta Linggi tetapi berharap baki kempen sebelum pengundian Sabtu ini, keadaan akan bertambah lebih baik bagi gabungan itu mencapai lebih banyak kemenangan.
“Saya nampak bahawa setakat ini kebanyakan kawasan PBB baik sahaja atau kawasan putih termasuk Kapit dan Mukah ini.
“Namun bagi GPS, ada kawasan tertentu yang diakui ada sedikit cabaran buat rakan-rakan komponen kita. Diharapkan dalam kempen beberapa hari lagi boleh memperbaiki keadaan itu,” katanya.
Beliau yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna berkata demikian dalamn sidang media pada program Pemimpin Bersama Rakyat di Dewan Masyarakat Balingian dekat sini hari ini.
GPS adalah gabungan parti PBB, Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP) yang bertanding di semua 31 kerusi Parlimen.
Nanta yang juga Setiausaha Agung PBB tidak menyatakan kerusi mana yang dikatakan agak sengit.
Sebaliknya, beliau membayangkan GPS boleh menang sekurang-kurangnya 25 hingga 28 kerusi pada PRU-15 ini.
“Ya… memang kita pada awalnya laungkan untuk memenangi 100 peratus atau kesemua 31 kerusi itu. Namun, pada masa sama kita juga perlu menerima realitinya,” katanya.
Mengenai kerjasama bagi membentuk Kerajaan Persekutuan selepas 19 November nanti, Nanta berkata GPS bersedia untuk bekerjasama dengan mana-mana gabungan.
Namun, katanya, gabungan parti terbabit haruslah yang diyakini boleh membawa kesejahteraan kepada rakyat.
“GPS ingin bersama mana-mana gabungan atau pihak yang kami yakini dapat menunjukkan (pembentukan) Kerajaan Pusat yang stabil dan dapat mengurus serta menjayakan pemulihan ekonomi.
“Bagi kami apa yang penting ialah kesejahteraan rakyat dan bukan politik.
Apabila ditanya mengenai kehadiran Perdana Menteri di Selangau semalam, beliau menganggap ia boleh membantu dan memberi impak yang positif.
“Saya rasa ia dapat membantu dan memberi impak positif mengambil kira betapa signifikannya projek Pan Borneo,” katanya.
Dalam pada itu katanya, lawatan Perdana Menteri juga boleh memberi keyakinan kapada rakyat dan pengundi apa yang bakal dinikmati sekiranya GPS boleh bekerjasama dengan pihak Barisan Nasional (BN).
Oleh Henry B Siyu