KUCHING: Bantuan kewangan berjumlah RM5 juta akan disediakan oleh Kerajaan Sarawak bagi membantu para penternak khinzir yang kehilangan sumber pendapatan utama mereka berikutan penularan wabak Demam Babi Afrika (ASF).
Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Dato’ Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata, pada masa ini dianggarkan kira-kira 32 ladang khinzir secara dan separuh komersial serta sekitar 600 ladang ternakan di belakang rumah telah terjejas oleh penyakit ini dan kira-kira 32,500 ekor khinzir telah dimusnahkan.
“Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak (JPVS) sedang dalam proses untuk mengenal pasti dan mengesahkan penternak khinzir secara dan separa komersial serta ladang ternakan di belakang rumah yang ladang mereka dijangkiti ASF dan mengurangkan populasi ladang untuk membendung penyebaran ASF.
“Tindakan yang dijalankan oleh JPVS ini agak berjaya membendung penularan ASF daripada merebak ke ladang komersial lain dan kemudiannya bagi penternak khinzir yang terjejas mengisi semula ladang mereka apabila selamat untuk berbuat demikian dan apabila langkah keselamatan yang lebih baik dilaksanakan,” katanya dalam kenyataan media pada Selasa lalu.
Katanya, bantuan kewangan daripada Kerajaan Negeri akan mempercepatkan penghapusan ASF di negeri ini, sekali gus membolehkan industri khinzir pulih dengan cepat daripada wabak penyakit ini.
Tambahnya, ASF bukanlah penyakit zoonosis dan selamat untuk mengambil daging dan produk khinzir yang dijual di kedai runcit kerana semua itu telah diperiksa oleh veterinar.
“Harga daging khinzir telah naik sedikit disebabkan kos makanan lebih tinggi tetapi secara relatifnya lebih murah jika dibandingkan dengan harga daging khinzir di Sabah dan Semenanjung Malaysia,” katanya.