Oleh Azreen Keria
KUCHING: Wakil rakyat DAP berada di Semenanjung Malaysia, tidak pernah memperjuangkan hak rakyat Sarawak sedangkan Gabungan Parti Sarawak (GPS) sentiasa memperjuangkan hak rakyat rakyat negeri ini.
Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Dato Sri Dr. Sim Kui Hian berkata pada pengundian 19 November nanti, rakyat Sarawak perlu menolak DAP pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) kali ini.
“Ini kerana parti itu tidak memperjuangkan hak rakyat Sarawak.
“Tetapi Gabungan Parti Sarawak (GPS) terus memperjuang hak negeri ini melalui tuntutan berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Oleh itu, pengundi perlu memilih parti yang mampu melaksanakan pentadbiran dengan stabil,”katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis penyalaan lampu Padungan di sini malam tadi.
Dr Sim berkata DAP perlu ditolak kerana mempunyai agenda tersendiri.
Katanya, pada malam keputusan PRU-19 diumumkan nanti, DAP mungkin menjadi parti pertama yang akan menghubungi UMNO atau GPS untuk mengadakan rundingan bagi membentuk kerajaan baharu.
“Kami (SUPP) merupakan parti yang sentiasa mengutamakan Sarawak.
“Oleh sebab itu, dalam setiap ucapan saya bersama rakyat Sarawak, saya sentiasa mengucapkan Sarawakku Sayang kerana Sarawak dahulu selepas itu Malaysia.”