RAMAI beranggapan jika seorang atlet itu bersara dari dunia sukan, mereka tidak mempunyai peluang menceburi kerjaya lain.
Pemikiran stereotaip itu perlu diubah kerana tidak semua kehidupan bekas atlet akan ‘terkandas’, seperti yang dibuktikan bekas pemain sepak takraw kebangsaan, Mohd Azlan Abdul Mubin.
Beliau berkata peluang selepas bersara dari dunia sukan sebenarnya luas, tidak kira dalam bidang pengacaraan ataupun bidang lain, cuma perlu mempunyai keinginan dan kesungguhan.
Azlan yang aktif dalam sukan sepak takraw sejak tahun 2003 hingga 2007, melakukan perubahan 360 darjah apabila menempa nama dalam bidang pengacaraan dan bergelar personaliti TV.
Memetik ciapan di Twitter @TeamMsia, menceritakan detik awal penglibatannya dalam dunia pengacaraan, Azlan mengakui ia bukan disebabkan minat.
“Mengenai bidang pengacaraan ini, pada awalnya terjebak bukan sebab minat, memang tiada minat. Pada tahun 2007 ada satu perlawanan, kalau tidak silap saya di Pulau Pinang. RTM (Radio Televisyen Malaysia) ada buat liputan perlawanan itu.
“…dan pada masa sama mereka ada menawarkan saya untuk berlakon drama raya yang membabitkan beberapa atlet negara. Sejak itu RTM nampak saya macam ada bakat.
“Mereka bagi saya peluang untuk cuba di Sukan Malaysia (SUKMA) Terengganu 2008. Waktu itu saya cuba sebagai pengulas bersama untuk sepak takraw. Dari situ bermula pembabitan saya, percubaan kali pertama tetapi hancur (tidak bagus),” katanya.
Azlan yang kini bergelar pembaca berita dan pengacara sukan di Astro Arena berkata beliau mencabar diri apabila diberikan peluang kedua oleh RTM.
Tanpa pengalaman dan asas dalam bidang pengacaraan, Azlan mengakui tertekan namun beliau mengambil peluang untuk menimba ilmu dengan ‘otai-otai’ RTM, seperti Allahyarham Datuk Hasbullah Awang, Hafizal Hamad dan ramai lagi.
“Awal saya mula sebagai penyampai dan kena jadi pengulas juga. Memang susah pada permulaan tapi kalau sudah mula minat, boleh belajar. Prinsip saya jangan takut buat salah.
“Kalau ada salah kena terima dan terus belajar. Pada 2010, baharu saya ada program dan keluar di TV sampai 2018, seterusnya dengan Astro Arena,” katanya. – Bernama