SHAHRUL QAIZAT
KUCHING: Kawasan Parlimen Petra Jaya menikmati banyak pembangunan termasuk usaha bagi mengurangkan masalah kesesakan lalu lintas.
Penyandang kerusi Parlimen Petra Jaya Dato Sri Fadillah Yusof berkata, ini dilakukannya sepanjang berkhidmat sebagai wakil rakyat di situ.
“Kita telah membina laluan bawah tanah dan Jambatan Tan Sri Sulaiman bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas.
“Ada juga projek telah diluluskan tapi malangnya dari segi pelaksanaan, kegagalan pihak kontraktor menyebabkan beberapa projek tergendala sehinggakan kami melantik kontraktor baharu seperti (projek) Jalan Matang dari bangunan Courts Mammoth sehingga persimpangan Malihah.
“Sekarang ini kontraktor baru sudah pun dilantik untuk menyiapkan projek di jalan berkenaan,” katanyaselepas mempengerusikan mesyuarat persediaan pilihan raya bagi kawasan Parlimen P194 Petra Jaya di sini, hari ini.
Fadillah yang juga Menteri Kanan Kerja Raya berkata, kontraktor penyiap bagi projek Hospital Petra Jaya juga sudah dilantik.
“Pembinaan Hospital Petra Jaya juga telah dimulakan semula setelah kami melantik kontraktor baharu dan banyak lagi projek-projek kecil mahupun projek besar sedang kita laksanakan malah ada yang sudah siap,” katanya.
Sebelum ini, beliau berkata projek hospital itu, yang sedang diusahakan oleh kontraktor penyelamat, sedang berjalan sedikit lebih awal daripada jadual.
Beliau berkata, kontraktor tersebut telah mencapai hampir 26 peratus kerja yang dilakukan berbanding jadual asal iaitu 25.4 peratus pada Julai 2022.