RYNNA SHA’ERRA
KUCHING: Kejohanan Petanque Beregu Terbuka Sri Santubong dan Piala Landas Persatuan Sukan Petanque Bahagian Kuching (PSPBK) 2022 Siri Ke-14 akan berlangsung pada 22 hingga 23 Oktober ini bertempat di Pusat Petanque Sarawak, kampung Santubong, di sini.
Acara berprestij dua hari tersebut akan menghimpunkan pemain yang mewakili negara Brunei serta pelbagai negeri lain seperti Sabah, Pahang, Terengganu, Perlis, Labuan dan Sarawak selaku tuan rumah serta pemain dari pasukan yang mewakili pelbagai agensi kerajaan dan swasta.
Menurut Timbalan Pengarah (Pengurusan) Jabatan Tanah dan Survei Sarawak (JTS), Awang Zamhari Awang Mahmood, saingan selama dua hari tersebut dijangka meriah dengan 194 penyertaan bagi beregu lelaki manakala 66 penyertaan bagi beregu wanita.
“Jabatan Tanah dan Survei Sarawak (JTS) menerusi Kelab Sosial dan Sukan JTS (LANDAS) dengan kerjasama Persatuan Sukan Petanque Bahagian Kuching (PSPBK) dan Lea Sports Centre kembali menganjurkan kejohanan ini selepas ditangguh selama dua tahun akibat pandemik Covid-19.
“Respons dan penyertaan yang diterima pada tahun ini adalah amat menggalakkan dan berdasarkan pengalaman kita, jumlah penyertaan dijangka meningkat sebelum tarikh tutup penyertaan,” katanya pada sidang media dan Majlis Penyerahan Hadiah tajaan Lea Sports Centre di Sarawak Plaza di sini, hari ini.
Menjelas lanjut, beliau memberitahu tarikh tutup penyertaan ialah pada 21 Oktober 2022 pukul 7.00 malam.
Upacara penyerahan hadiah tajaan Lea Sports Centre disempurnakan oleh Pengarah Urusan Lea Holding (M) Sdn. Bhd., Raymond Sim Hee Pang.
Menurut Awang lagi, kejohanan tersebut juga akan disertai pemain dari institut pengajian tinggi awam (IPTA) atau sekolah-sekolah.
“Antara IPTA dan sekolah-sekolah yang turut menyertai kejohanan ini ialah Universiti Teknologi Mara (UiTM), Politeknik, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Agama Sheikh Haji Othman Abdul Wahab (SHOAW), Matang Hilir, SMK Pending, SMK Stampin dan SMK Santubong,” maklumnya.