AZREEN KERIA
KUCHING: Jentera Pergerakan Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) sudah bersiap sedia untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) pada 19 November ini.
Ketuanya, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, dengan pengumuman Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengenai tarikh penting PRU-15, maka jentera kempen Gabungan Parti Sarawak (GPS) terutama Wanita PBB dapat diatur sebaik mungkin.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti itu berkata, kini jentera parti dapat diatur strategi dan aktivitinya dengan tepat mengikut tarikh-tarikh penting diumumkan SPR.
“Malah dari segi persediaan GPS menghadapi PRU-15, seperti kenyataan Premier Sarawak sebelum ini, GPS sudah bersedia ‘nunggu bedok ajak lagi,” katanya dalam satu kenyataan media sebentar tadi.
SPR hari ini menetapkan 19 November sebagai hari pengundian bagi PRU-15, manakala hari penamaan calon pula ditetapkan pada 5 November selain hari pengundian awal pada 15 November ini.
Fatimah berkata, dengan pengumuman SPR itu, maka tidak ada lagi teka-teki mengenai tarikh penamaan calon, pengundian dan pengundian awal bagi PRU-15.