NUR AIN OTSMAN
KUCHING: Pegawai penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mulai hari ini meninjau harga barangan kawalan.
Bagi tujuan itu, pegawai terbabit melakukan ‘walkabout’ di Mydin Hypermarket, Vista Tunku untuk meninjau pematuhan pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Deepavali 2022 peringkat negeri yang berkuatkuasa mulai hari ini hingga Rabu depan.
Ketua Pegawai Penguatkuasa Pejabat KPDNHEP Negeri Sarawak, Peter J.Benius Agang berkata, SHMMP Deepavali merupakan komitmen pihaknya yang berterusan untuk memastikan Keluarga Malaysia tidak dibebankan dengan peningkatan kos sara hidup (COL) semasa musim perayaan.
Katanya, ini kerana permintaan ke atas barangan tertentu dijangka meningkat menjelang perayaan Deepavali yang bakal disambut Isnin ini.
“Kementerian telah melaksanakan penentuan harga maksimum ayam dan telur ayam sejak 12 Oktober lalu dan masih berkuatkuasa sehingga kini bagi menstabilkan harga ayam dan telur ayam serta keberadaan bekalan di pasaran.
“SHMMP Deepavali 2022 akan berkuatkuasa selama tujuh hari meliputi empat hari sebelum perayaan, satu hari semasa perayaan dan dua hari selepas perayaan dari 20 hingga 26 Oktober,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
SHMMP DEEPAVALI 2022 melibatkan lapan jenis barangan harga yang telah diwartakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 seperti daging kambing biri-biri import bertulang, tomato,. cili merah, bawang merah kecil (India), bawang merah besar import, kacang dal (Australia), kelapa biji (harga maksimum di peringkat borong sahaja) dan kelapa parut (harga maksimum di peringkat runcit sahaja).
“Penentuan harga barangan dibuat melalui perbincangan dengan agensi kerajaan, pengeluar, pemborong dan pasaraya serta peruncit dengan mengambil kira harga pasaran semasa serta faktor perubahan harga, khususnya melibatkan barangan import yang dipengaruhi perubahan kadar tukaran mata wang serta lain-lain kos yang terlibat,” katanya.
Senarai lengkap harga barangan bagi negeri Sarawak boleh diperolehi di laman sesawang KPDNHEP di pautan www.kpdnhep.gov.my atau di Facebook KPDNHEP Laman Rasmi dan Facebook KPDNHEP Sarawak.
Beliau berkata, 176 pegawai penguat kuasa dan 101 pegawai pemantau harga KPDNHEP Sarawak akan menjalankan pemantauan dan pemeriksaan di pasar awam dan pasaraya semasa SHMMP Deepavali 2022 berkuatkuasa bagi memastikan pematuhan oleh peniaga.
“Mana-mana peniaga yang didapati melakukan pelanggaran akan diambil tindakan tegas di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 dan peraturan-peraturannya dan boleh dikenakan penalti seperti kesalahan menjual barangan harga terkawal melebihi harga maksimum .
“Bagi individu boleh didenda oleh mahkamah sehingga RM100,000 atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya atau dikompaun sehingga RM50,000 dan bagi kategori syarikat boleh didenda sehingga RM500,000 atau dikompaun sehingga RM250,000.
“Bagi kesalahan gagal meletakkan tanda harga berwarna merah jambu untuk barangan harga terkawal bagi individu boleh didenda oleh mahkamah sehingga RM10,000 atau dikompaun sehingga RM5,000 dan kategori syarikat boleh didenda sehingga RM20,000 atau dikompaun sehingga RM10,000.
“Sekiranya pengguna mempunyai maklumat berkenaan salah laku oleh mana-mana peniaga berhubung perkara di atas boleh melaporkan kepada pihak KPDNHEP melalui saluran WhatsApp 019-279 4317 / 019-848 8000, Portal Aduan; e-aduan.kpdnhep.gov.my, Call Centre 1-800-886-800, Emel e-aduan@kpdnhep.gov.my dan Ez ADU KPDNHEP,” katanya.