BUKAN sahaja mahir serta cekap dalam operasi dan tugas sebagai pegawai bomba, ternyata Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sarikei, PPgB Mahmudin Narudin mempunyai kemahiran membina kraf tangan.
Beliau membina replika jentera bomba menggunakan kayu palet.
Katanya, ia merupakan antara hobi dan minat sekiranya mempunyai masa terluang di rumah.
“Sekiranya mempunyai masa terluang di rumah, saya membahagikan masa yang ada dengan membina replika jentera bomba.
“Setakat ini, saya cuma membina beberapa model atau replika jentera bomba.
“Selepas siap sepenuhnya, saya simpan sebagai koleksi dan ada yang saya jadikan cenderamata kepada tetamu-tetamu kehormat yang hadir di program bomba,” kata Mahmudin kepada Stail.
Katanya, kesabaran dan ketekunan diperlukan bagi membina sesebuah replika jentera bomba.
“Banyak yang perlu diperhatikan dan memerlukan tumpuan sepenuhnya supaya kraftangan dihasilkan dengan lebih menarik.
“Oleh itu, perlunya ketelitian semasa membina replika jentera menggunakan kayu.
“Replika jentera bomba yang selalu saya bina ialah Dennis Fire Engine,” ujarnya.
Dalam pada itu, katanya, peralatan utama yang diperlukan bagi membina replika jentera bomba ialah tukul dan pahat.
“Proses untuk membina sebuah replika jentera bomba ialah dalam satu minggu.
“Saya perlu meneliti setiap ciri-ciri asal jentera bomba bagi memastikan kraftangan yang saya hasilkan kelihatan seperti jentera bomba,” katanya lagi.
Dalam pada itu, beliau menasihatkan belia-belia yang mempunyai hobi menghasilkan kraftangan supaya terus berkarya.
“Tidak mengira apa jua jenis kraf tangan yang dihasilkan, apa yang penting ialah masa terluang digunakan untuk membuat aktiviti berfaedah di rumah.
“Kraf tangan yang dihasilkan juga boleh menjadi mata pencarian bagi mereka tekun dan berminat menjadi seorang usahawan suatu hari nanti,” katanya.
Oleh EARL ANEK