KUCHING: Tindakan Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen mempertahankan bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkaitan isu dana sekolah usang menunjukkan beliau tidak sensitif kepada keperluan rakyat Sarawak.
Ketua Setiausaha Politik Premier Sarawak, Fazzrudin Abdul Rahman berkata Chong sendiri sepatutnya memperjuangkan perkara ini daripada berdiam diri dan membiarkan rakyat Sarawak menanggung beban permainan politik Pakatan Harapan (PH).
“Pemimpin (Chong) DAP itu mendakwa Kerajaan PH sebelum ini memberi layanan keutamaan kepada kerajaan Sarawak supaya RM1 bilion dibayar Sarawak kepada Putrajaya dalam perjanjian pinjaman-kontra sebagai geran langsung untuk membaiki sekolah usang di negeri ini.
“Itu bukan ‘layanan keutamaan’, ia adalah ‘layanan keras keutamaan,’ katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Portal berita nasional hari ini melaporkan Chong mempertahankan Guan Eng terhadap dakwaan bahawa bekas menteri kewangan itu menuntut Sarawak menyelesaikan hutang RM1 bilion kepada Putrajaya sebelum peruntukan untuk membaiki sekolah usang diketepikan.
Chong juga menuduh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg cuba “memusingkan fakta dengan berniat jahat”
Fazzrudin menyifatkan kenyataan Chong sebagai tidak masuk akal dan tidak sensitif kepada keperluan rakyat Sarawak di mana isu pembaikan sekolah usang dianggap sebagai muslihat politik oleh DAP dan PH.
“Apa yang perlu difokuskan ialah tanggungjawab membaiki sekolah usang atau mana-mana sekolah. Ini tanggungjawab Kerajaan Persekutuan, di bawah Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan.
“Oleh itu, Kerajaan Sarawak wajar menuntut Kerajaan Persekutuan membaiki sekolah-sekolah di negeri ini.
“Dengan dana yang terhad dari Putrajaya, kerajaan Sarawak mengetepikan perbezaan mereka dengan Kerajaan Persekutuan PH ketika itu dan menawarkan untuk mendahulukan RM1 bilion pembayaran balik pinjaman untuk pembaikan sekolah direalisasikan,” katanya.
Fazzrudin menegaskan hal ini sepatutnya menyelesaikan perkara itu sekiranya bukan kerana kelewatan oleh Kementerian Kewangan yang pada ketika itu diketuai Guan Eng – dalam menyelesaikan masalah sekolah usang itu.
“Ini menunjukkan kerajaan PH tidak serius membantu pelajar di Sarawak yang amat memerlukan kemudahan pendidikan yang lebih baik,” katanya.