ASAJAYA: Selepas tiga hari operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilaksanakan, Faddrul Razie Zaini, 30, yang hilang di perairan Sampun berhampiran Kampung Semera di Asajaya awal pagi Rabu lalu akhirnya ditemui pagi tadi.
Mayat mangsa ditemui dalam keadaan terapung di laut perairan Sampun oleh nelayan.
Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak menerusi satu kenyataan memberitahu pihaknya bergegas ke lokasi setelah menerima panggilan pada 6.29 pagi tadi.
“Pada 6.35 pagi, mangsa yang dijumpai nelayan telah berjaya dibawa naik dan seterusnya dibawa ke pusat kawalan bomba Pintu Air Kampung Semera.
“Mangsa juga telah disahkan oleh ahli keluarga sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya.
Justeru, Komander Operasi memberitahu berikutan penemuan mayat mangsa tersebut, operasi SAR ditamatkan pada 7.50 pagi tadi.
Turut hadir di lokasi ialah pihak polis, orang kampung dan juga para nelayan.
Pada Rabu lalu, mangsa dilaporkan dalam perjalanan ke laut bersama rakannya yang lain turun ke laut pada 5.00 pagi bagi tujuan menangkap hasil laut dengan menggunakan perahu.
Kejadian dikatakan berlaku setelah pendayung yang dipegang oleh mangsa patah menyebabkan mangsa terjatuh ke laut.
Usaha menyelamatkan mangsa oleh rakan yang lain membawa naik semula ke perahu gagal dan mereka seterusnya memaklumkan hal berkenaan kepada pihak Bomba bagi mendapatkan bantuan khidmat khas untuk mencari mangsa.