SELAIN menyemarakkan semangat persaingan yang sihat di kalangan murid-murid yang menyertai acara dipertandingkan, kejohanan ke-71 Sukan Tahunan Sekolah Kebangsaan (SK) St Michael Entingan, Samarahan juga dilihat berupaya melahirkan atlet yang bakal membawa cabaran Sarawak pada masa akan datang.
Malah, menurut Guru Besar SK St Michael Entingan, Andi Bakeh ia bukan sahaja mampu menaikkan nama Sarawak di peringkat kebangsaan tetapi turut berhasrat agar murid-murid dari sekolah tersebut akan menjadi ‘ikon’ sukan di pentas antarabangsa nanti.
Katanya, kejohanan kali ini juga bakal memberi pengalaman yang menyeluruh kepada semua murid dalam menyertai acara-acara yang dipetandingkan sekali gus menampilkan insan yang cergas dari segi mental dan fizikal.
“Matlamat sukan tahunan ini adalah berfokus untuk mendedahkan murid-murid SK St Michael bersaing dalam acara-acara olahraga serta mencungkil bakat mereka bagi diketengahkan ke tahap yang lebih tinggi,” kata beliau pada majlis penutupan baru-baru ini.
Andi menambah, untuk kejohanan kali ini secara keseluruhannya semua peserta yang bertanding telah menunjukkan semangat juang yang tinggi dalam mengejar impian sebagai seorang ‘juara’ dan saling memberi persaingan antara satu sama lain.
“Saya berharap dengan semangat yang ditunjukkan itu akan terus ditanamkan di dalam jiwa mereka sekali gus akan membawa kejayaan yang lebih besar pada masa mendatang,” ujar beliau.
Sementara itu,Kontinjen Rumah Biru berjaya muncul juara pada kejohanan kali ini selepas mengetepikan cabaran Rumah Hijau di tempat kedua manakala Rumah Merah dan Rumah Kuning masing-masing menduduki tempat ketiga dan keempat.
Paling mencuit tumpuan pada kejohanan kali ialah gelagat seorang peserta iaitu Leophillus Dluffy berusia lima tahun yang menyertai acara 50 meter berganti-ganti telah berlari melawan arah sehingga viral di media sosial baru-baru ini.
Carlisto Manju dan Clarissa Casandra pula telah dipilih sebagai olahragawan dan olahragawati semantara olahragawan harapan serta olahragawati harapan disandang Edmand Rasau dan Jovinia Ritha Maria.