KUALA LUMPUR: Petroliam Nasional Bhd (Petronas) memeterai kontrak perkongsian pengeluaran (PSC) dengan TotalEnergies EP Malaysia (TE), Petronas Carigali Sdn Bhd (PCSB), Sabah Shell Petroleum Company Ltd (SSPC) dan Shell Sabah Selatan Sdn Bhd (SSS) bagi Block 2K, blok laut paling dalam yang terletak di luar pantai Sabah.
Block SB 2K, dengan kedalaman sehingga 3,000 meter dan merangkumi kawasan seluas 1,952 km persegi itu terletak di kawasan laut paling dalam di bahagian barat laut lembangan hidrokarbon yang mempunyai potensi sumber asli tersebut, kata syarikat minyak dan gas nasional itu dalam satu kenyataan.
Petronas berkata di bawah terma PSC itu, TE, anak syarikat milik penuh syarikat minyak berpangkalan di Perancis TotalEnergies SE, akan menjadi pengendali dengan kepentingan penyertaan sebanyak 34.9 peratus.
“PCSB memegang 40 peratus kepentingan penyertaan manakala baki 25.1 peratus dibahagikan sama rata antara dua rakan kongsi lain, SSPC dan SSS,” katanya.
Memeterai PSC itu sebagai mewakili Petronas adalah naib presiden kanan pengurusan petroleumnya di Malaysia Mohamed Firouz Asnan, manakala TE diwakili oleh pengurus besar bahagian eksplorasi dan pengeluaran di Malaysia, Xavier Faugeras.
PCSB diwakili Naib Presiden Eksplorasinya, Mohd Redhani Abdul Rahman, SSPC oleh pengurus kewangan bahagian huluannya di Malaysia, Hilmi Yusof dan SSS oleh pengurus besarnya, bagi bahagian laut dalam Sabah, huluan Malaysia, Prithipal Singh.
“Permeteraian PSC bagi Block 2K itu melengkapkan pelesenan lima blok laut paling dalam di luar pantai Sabah, bersama-sama dengan trend karbonat Oligo-Miocene yang dibuktikan menerusi penemuan minyak Tepat-1 di Block N pada 2018. Block 2V dimeterai tahun lepas diikuti oleh Blocks 2W dan X awal tahun ini.
“Sejumlah empat telaga minyak dijangka digerudi di blok laut paling dalam ini pada 2022 dan 2023, untuk meneroka dalam wilayah hidrokabon baharu ini,” kata Mohamed Firouz.
Petronas berkata, lima blok ini kini dilengkapi dengan data seismik 3D daripada kaji selidik pelbagai pelanggan baru-baru ini, yang akan mempercepat program penggerusian eksplorasi. – Bernama