KUALA LUMPUR: Cradle Fund Sdn Bhd (Cradle) telah mewujudkan lebih 2,400 syarikat pemula niaga sejak pelancaran program MYStartup pada Februari tahun ini, kata Naib Presiden Kanan, Pembangunan Ekosistem Cradle Ahmad Kashfi Alwi.
Beliau berkata, program MYStartup memainkan peranan penting dalam membantu Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) mencapai sasaran untuk mewujudkan 5,000 syarikat pemula niaga menjelang akhir 2025.
Ahmad Kashfi berkata, dana itu sedang gigih berusaha untuk mendapatkan lebih banyak syarikat pemula niaga yang berkualiti dan mengurangkan bilangan syarikat baharu yang berhenti daripada program itu.
“Sasaran dalaman kami adalah untuk mendapatkan lebih ramai peserta menyertai program MYStartup dan mendapatkan lebih banyak syarikat pemula niaga yang berkualiti serta mengurangkan keciciran daripada program tersebut. Pada asasnya kami mahu melihat lebih banyak syarikat pemula niaga mendapat pelaburan pendanaan daripada pelabur.
“Melihat trajektori pertumbuhan, kami cukup yakin dan percaya bahawa kami mampu mencapai sasaran 5,000 syarikat pemula niaga menjelang 2025 kerana kami telah berjaya mendapatkan 2,400 syarikat pemula niaga sejak pelancaran program MYStartup. Saya percaya kami berada di landasan yang betul,” katanya kepada Bernama selepas pelancaran Program Pre-Accelerator MYStartup Kohort 2 di sini, hari ini.
Semalam, Cradle mengumumkan bahawa ia meluluskan 28 syarikat pemula niaga di bawah program Cradle Investment Programme (CIP) Spark dan CIP Sprint dengan jumlah geran sebanyak RM8.24 juta setakat September 2022.
Sementara itu, Cradle di bawah MOSTI, hari ini mengumumkan pelancaran Program Pre-Accelerator MYStartup Kohort 2, berikutan kejayaan program Kohort 1, yang berakhir pada September 2022.
Kumpulan baharu itu menerima sejumlah 126 permohonan, dan 40 syarikat pemula niaga peringkat awal teratas yang dipilih akan menjalani program latihan selama enam bulan.
Program Pre-Accelerator MYStartup adalah sebahagian daripada Strategi MYStartup yang lebih besar dimulakan oleh MOSTI bertujuan meningkatkan ekosistem syarikat pemula niaga tempatan ke peringkat seterusnya dengan menyediakan pembiayaan pertumbuhan, sumber dan bimbingan kepada mereka.
Kohort pertama, yang dilancarkan pada 12 Mei 2022, menyaksikan 37 syarikat pemula niaga dipilih untuk program latihan selama enam bulan dan 15 syarikat pemula niaga dipilih untuk mengemukakan idea perniagaan mereka kepada panel hakim semasa Demo Day yang diadakan pada 27 September 2022.
Cradle mengumumkan Luwjistik (platform perisian sebagai perkhidmatan (SaaS) untuk menyambung dan meningkatkan perkhidmatan dalam industri logistik); Bytespace (platform SaaS dengan penyelesaian boleh suai menyeluruh ); MIW (penyelesaian proprietari untuk sisa tapak pelupusan); loopfoods (ladang untuk perkhidmatan penghantaran makanan vegan); dan Sekolah Sayur Kita (platform pembelajaran agroteknologi yang ingin mengembangkan dan memperkasakan petani masa depan) sebagai 5 pasukan Terbaik dalam Kohort 1.
Dalam satu kenyataan, Ahmad Kashfi berkata, Cradle berharap Program Pre-Accelerator MYStartup akan dapat meningkatkan dan memperkasakan syarikat pemula niaga dengan kepintaran perniagaan dan kepakaran kewangan sambil menghubungkan mereka dengan rangkaian dan sumber yang sangat diperlukan.
Ketua Pegawai Eksekutif BEYOND4, S T Rubaneswaran berkata, syarikat pemula niagayang menyertai MYStartup Pre-Accelerator anjuran Cradle ini akan mendapat peluang hebat untuk mempercepat perkembangan perniagaan mereka menerusi program pementoran berkualiti, latihan serta bimbingan dan semua ini tanpa perlu menyerahkan walau sedikit pegangan ekuiti sepanjang program ini berlangsung.
“Kami berharap menerusi program ini juga, syarikat pemula niagaakan mendapat keyakinan yang lebih jitu dalam mencapai matlamat dan sasaran mereka,” katanya.
Disenarai sebagai salah satu daripada 16 intervensi di bawah Pelan Hala Tuju Ekosistem Startup Malaysia (SUPER) 2021-2030, Program MYStartup memainkan peranan yang penting dalam usaha mencapai sasaran MOSTI untuk melahirkan 5000 syarikat pemula niagadan lima syarikat berstatus unicorn menjelang 2025 bagi meningkatkan perkembangan ekonomi menerusi sains, teknologi dan inovasi.
Untuk maklumat lanjut mengenai ekosistem startup di Malaysia, sila layari www.mystartup.gov.my. – Bernama