IKRAR PELAJAR… Mclarren Jenson Guang mengetuai bacaan ikrar pelajar sempena MIP UNIMAS Sesi 2022/2023 di Arena Gemilang,DeTAR PUTRA dekat sini, semalam.
KOTA SAMARAHAN: Seramai 3,093 pelajar telah menerima tawaran untuk melanjutkan pengajian ke Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) bagi sesi 2022/2023.
Naib Canselor UNIMAS, Profesor Datuk Dr Mohamad Kadim Suaidi berkata, pihak UNIMAS juga masih menunggu keputusan rayuan dan kemungkinan akan menerima kira-kira 600 ke 700 pelajar baharu lagi selepas proses tersebut.
“Kehadiran semua pelajar sebagai warga baharu UNIMAS amat dialu-alukan dan dinanti-nantikan,” kata beliau pada Majlis Ikrar Pelajar (MIP) UNIMAS Sesi 2022/2023 di Arena Gemilang, DeTAR PUTRA dekat sini, semalam.
Lafaz ikrar pelajar juga telah diketuai oleh Mclarren Jenson Guang, sekali gus menyerahkan watikah Aku Janji kepada Kadim dan disaksikan oleh Pengerusi Lembaga Pengarah UNIMAS Tan Sri Datuk Seri Panglima Sulong Matjeraie.
Kadim turut melahirkan rasa bangga kerana para pelajar tersebut mempunyai latar belakang etnik, ideologi politik, taraf ekonomi dan sosial yang berbeza serta berasal dari 14 buah negeri yang mempunyai identiti tersendiri.
“Bagaimanapun, di bawah naungan Jalur Gemilang yang sama mereka perlu terus bersedia untuk menuntut dan mencari persamaan dalam kepelbagaian tersebut termasuk mengamalkan konsep Keluarga Malaysia.
“Saya yakin dan percaya, sepanjang anda mengikuti Minggu Aluan Pelajar (MAP) sejak 3 Oktober lalu sedikit sebanyak ia pelajar baharu mengenali UNIMAS dengan lebih dekat, membuat penilaian awal dan mewujudkan semangat kekitaan”, katanya.
Dalam pada itu, Kadim memaklumkan bahawa beliau yakin kehadiran warga baharu UNIMAS mampu menterjemah, merefleksi dan merealisasikan gagasan yang telah beliau sampaikan.
“Diharapkan, keberadaan anda di kampus ini nanti diiringi dengan nilai tanggungjawab dan akauntabiliti yang tinggi untuk menampilkan sikap dan budaya individu yang matang serta bersedia untuk dilatih sekali gus dibentuk sebagai generasi harapan, pewaris kepimpinan negara masa hadapan. Kita tidak mahu melahirkan saintis, jurutera dan teknokrat yang kaku sifatnya,” jelasnya.
Beliau memaklumkan, UNIMAS juga komited untuk memberikan pengalaman kampus yang terbaik kepada para pelajarnya sebagai pelaburan jangka panjang yang bakal menghasilkan pulangan yang tinggi nilainya kepada universiti pada masa hadapan.
“Jadi saya berharap agar semua pelajar boleh memanfaatkan ruang dan peluang yang disediakan di kampus dengan penuh berhemah dan tanggungjawab melalui penglibatan dalam pelbagai aktiviti berfaedah serta dapat memberikan nilai tambah kepada anda sebagai seorang pelajar universiti”, ujarnya.
Untuk makluman, MAP telah dijalankan selama tiga hari dan dikendalikan sepenuhnya oleh Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UNIMAS dan melibatkan seramai 315 Liasion Officer (LO), Majlis Pelaksana dan Lembaga Pengarah.
Antara pengisian program yang telah dilakukan termasuklah Hari Bersama Fakulti, Pengenalan Kelab dan Persatuan, Taklimat bersama Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional
(PTPTN) selain aktiviti bersama pihak pengurusan Kolej.
Pada malam 5 Oktober telah berlangsung program Semarak Kesarjanaan Mahasiswa dan Malam Rumpun Budaya (MRB).
Hadir sama Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Dr Wan Hashim Wan Ibrahim, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Inovasi) Profesor Dr. Ahmad Hata Rasit, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Dr Kamarudin Kana, Pendaftar UNIMAS, Azlan Ramli, Yang di-Pertua MPP Sesi 2021/2022, Saidatul Najwa Abdul Halim, Pengerusi Jawatankuasa MAP Sesi 2022/2023 Premanand Ayavoo dan wakil-wakil yang lain.
Oleh NICKELYSON LAKUN