PARA pelajar dan pensyarah bergambar bersama anak buaya di Miri Crocodile Farm.
Para pelajar tahun akhir jurusan pelancongan di Curtin Malaysia baru-baru ini mengadakan lawatan lapangan ke Miri Crocodile Farm sebagai sebahagian daripada unit kajian di bawah topik Isu-Isu Kontemporari Dalam Pengurusan Pelancongan.
Turut serta ialah dekan untuk libat urus luar Fakulti Perniagaan Curtin Malaysia, Yip Ka Yii dan penolong unit penyelaras, Dr. Ho Jie Min.
Menurut Dr. Ho, lawatan lapangan seperti ini penting kerana ia membolehkan para pelajar mengenali isu-isu sebenar serta apa yang dititikberatkan oleh para pengamal industri di dalam pelbagai pasaran pelancongan.
Selain itu, ia juga mendedahkan para pelajar dengan berbagai perspektif serta pemahaman luas tentang kepelbagaian dalam industri pelancongan apabila para pengamal industri ini berkongsi pengalaman peribadi tentang teori dan konsep yang dipelajari di dalam kelas.
Beliau menambah kata, pelancongan hidupan liar semakin popular sekarang ini memandangkan ramai orang ingin melihat haiwan di habitat asli masing-masing.
“Pelancongan hidupan liar juga senjata kukuh untuk destinasi seperti Miri berkembang dan mempelbagaikan ekonomi, melindungi biodiversiti dan pada masa yang sama mencapai Sasaran Pembangunan Mampan,” kata beliau.
Selain itu kata beliau, pelancong juga boleh terlibat di dalam pemuliharaan hidupan liar dan membantu meningkatkan kehidupan penduduk setempat menerusi penyediaan kerjaya berasaskan pelancongan, perkongsian hasil dan pengurusan bersama sumber-sumber semulajadi.
Sementara itu, Miri Crocodile Farm yang seluas 22 ekar, merupakan lokasi popular untuk interaksi manusia-hidupan liar di Miri. Ia juga merupakan ladang buaya pertama dan terbesar di wilayah utara Sarawak, berdaftar dan diiktiraf oleh Konvensyen Perdagangan Antarabangsa Untuk Spesies Fauna dan Flora Terancam.
Ladang ini menempatkan lebih 1,000 buaya dari pelbagai spesies, termasuk haiwan eksotik dari negara-negara tropika seperti burung kasawari, ular sawa, binturong dan beruang matahari.
Menurut Jacky Chai, pemilik generasi kedua merangkap pengurus operasi Miri Crocodile Farm, ladang ini yang terletak di Kuala Baram sentiasa menjadi tarikan pelancongan penting untuk Miri. Bagaimanapun, tidak mudah untuk menjamin kesinambungan mampan di ladang ini, terutama dalam aspek kos operasi dan pengurusan yang meningkat.
Malah ladang berkenaan menggunapakai konsep angkat dan terbuka yang membolehkan pelawat berinteraksi dengan hidupan liar seperti anak buaya, ular sawa, burung kakak tua dan haiwan domestik yang lain. Ia bukan sahaja merupakan teknik niaga yang unik tetapi juga merapatkan lagi pelawat dengan alam semulajadi.
Sepanjang lawatan ini, para pelajar diberi peluang untuk bertanya soalan bagi memahami lebih lanjut tentang yang telah dipelajari di kelas dan diamalkan oleh pihak industri.
Oleh HAINI DARANI